Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya negara-negara serantau memperkukuhkan pendirian dalam memberikan perlindungan kepada pelarian Uyghur dan menolak sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan serta hak asasi mereka.
Ia susulan tindakan kerajaan Thailand yang dilaporkan menghantar pulang 40 pelarian Uyghur yang ditahan di negara itu.
Presiden Abim Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata keputusan ini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan mendalam dalam kalangan masyarakat antarabangsa, tetapi juga mengundang perhatian luas media antarabangsa terhadap nasib para pelarian yang terjejas.
“Walaupun kerajaan Thailand menyatakan bahawa mereka telah memperoleh jaminan daripada pihak China bahawa para pelarian tersebut tidak akan diapa-apakan, Abim mengingatkan bahawa berdasarkan rekod lalu, pelarian Uyghur yang dihantar pulang ke China sering kali hilang tanpa sebarang berita dan tidak dapat dihubungi.
“Situasi ini menimbulkan persoalan besar mengenai keselamatan serta hak asasi mereka selepas dihantar semula ke negara asal.
“Abim khuatir tindakan kerajaan Thailand ini akan dijadikan justifikasi oleh China untuk meneruskan tindakan serupa terhadap mana-mana pelarian Uyghur yang berusaha mendapatkan perlindungan di luar negara,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu BBC melaporkan pihak berkuasa Thailand mengesahkan sekurang-kurangnya 40 orang Uyghur telah dihantar pulang ke China walaupun amaran daripada kumpulan hak asasi manusia mereka boleh menghadapi kemungkinan penyeksaan dan juga kematian.
Kumpulan itu dipercayai telah diterbangkan kembali ke wilayah Xinjiang China pada Khamis, selepas ditahan selama 10 tahun di pusat tahanan Bangkok.
Ini adalah kali pertama Thailand mengusir etnik Uyghur sejak 2015.
China telah dituduh melakukan jenayah kemanusiaan dan mungkin pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Uyghur dan kumpulan etnik lain yang kebanyakannya Islam di wilayah barat laut Xinjiang, namun Beijing menafikan semua dakwaan itu.
Ahmad Fahmi berkata, langkah Thailand ini boleh memberi kesan negatif kepada prinsip kemanusiaan dan hak asasi pelarian Uyghur yang sekian lama ditindas, sepertimana yang telah dibuktikan dengan kesaksian mangsa dan siasatan antarabangsa.
Sehubungan itu katanya, Abim menegaskan bahawa dengan rekod hak asasi manusia yang membimbangkan di China, komuniti Uyghur wajar diberikan perlindungan sewajarnya.
“(Ini) selaras dengan prinsip non-refoulement, yang menegah mana-mana negara daripada menghantar pelarian kembali ke tempat di mana mereka berisiko berdepan dengan penyeksaan, penindasan, dan pencabulan hak asasi manusia,” katanya.
