Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konsep baru - DBKL cadang bina sekolah 10 hingga 17 tingkat di ibu negara

PARLIMEN l Sekolah konsep baru dengan pembinaan bangunan setinggi antara 10 hingga 17 tingkat di sekitar ibu negara antara alternatif bagi memenuhi keperluan ketika mana tanah di Kuala Lumpur semakin meningkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Zaliha Mustafa berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan terlebih dahulu.

Meskipun konsep baru, namun ia tidak akan meminggirkan elemen penting pelajaran termasuk kemudahan serta pembangunannya.

Jelas Zaliha, sekolah konsep ini banyak digunakan di Australia yang turut dilengkapi dengan padang aktiviti sukan.

"Keluasan tanah yang sangat terhad dan harga yang melambung tinggi menjadi cabaran kepada kita. Oleh itu DBKL bercadang dan juga akan berbincang dengan KPM nanti untuk memperhalusi konsep pembinaan menegak dalam pembinaan sekolah baru.

"Konsep ini digunakan secara meluas di Australia yang mana dulunya sekolah ini secara konvensional merangkumi padang dan kawasan rekreasi dan kini dipadatkan menjadi sekolah dua blok 10 ke 17 tingkat tanpa mengorbankan elemen penting dalam pelajar begitu juga elemen sukan dan rekreasi," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Zaliha berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan dikemukakan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat).

Onn bertanyakan mengenai pembangunan kemudahan asas seperti dewan dan sekolah di sekitar Kuala Lumpur memandangkan keluasan tanah yang terhad.

Dalam pada itu, Zaliha berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sudah mengenal pasti 139 tapak dengan keluasan 1,228.95 hektar untuk pembinaan projek yang akan dibuat secara pembangunan semula pada masa akan datang.

Katanya, pembangunan itu akan dibuat seiring Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040) dan Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (DPTKL2040).

Tambahnya, draf PTKL2040 memperkenalkan Zon Guna Tanah Kediaman 4 (R4), iaitu zon khusus bagi pembangunan rumah mampu milik termasuk perumahan awam dengan keluasan 354.47 hektar.

Sementara itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda- Muar) ketika membahas titah diraja pula mengecam kerajaan kerana cuba membentangkan Akta Pembaharuan Bandar (URA).

Katanya, akta itu dikhuatiri akan memberi kelebihan kepada pemaju berbanding hak golongan berpendapatan rendah.

Sudah pasti ia memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah yang majoritinya Melayu dan India yang tinggal di rumah pangsa.

"Ini saya paling takut sekali tuan yang dipertua, kuasa lobi puak pemaju ini sangat besar dan kuat sekali dan di Malaysia apabila kita  tak ada akta pendanaan politik, masalah ini akan menimbulkan pandora's box yang lebih besar. 

"Kalau saya nak ambil alih tanah, selepas ini proses rundingan telah pun berpihak kepada pemaju, saya boleh berikan dana politik kepada parti-parti politik dalam kerajaan ataupun pembangkang bakal jadi kerajaan, supaya proses rundingan yang sebelum ini adil kerana ia rundingan pemaju dengan semua pemilik, kini kerajaan masuk campur," katanya ketika berbahas.

Berbanding sebelum ini, pemaju memerlukan persetujuan 100 peratus pemilik untuk meluluskan tetapi kini telah diturunkan kepada 80 peratus, katanya.

"Maksudnya jikalau golongan majoriti setuju, golongan minoriti akan terseksa kerana rumah mereka akan dirampas bukan oleh kerajaan, tetapi pemaju syarikat swasta," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS