Harga santan segar (pekat) kini mencatat kenaikan mendadak, dengan harga jualan mencecah antara RM20 hingga RM22 sekilogram di beberapa negeri, termasuk Pahang, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.
Semakan Malaysiakini melalui aplikasi PriceCatcher dan laman web manamurah.com mendapati harga santan segar di Pasar Basah Balok dan Pasar Basah Besar Kuantan kini dijual pada RM20 sekilogram.
Di Pasar Besar Jaya Gading, harga santan turut meningkat manakala purata harga di daerah Kuantan kini mencecah RM15.61 sekilogram.
Di Kedah, harga santan segar turut melonjak ke paras tertinggi antara RM20 ke RM22 sekilogram di Pendang, Kuala Muda dan Langkawi.

Di Pasar Basah Pendang dan Pasar Taman Ria (Kuala Muda), santan segar dijual pada harga RM20 sekilogram.
Sementara itu, Pasar Awam Kuah di Langkawi mencatatkan harga tertinggi RM22 sekilogram.
Harga purata di Kedah pula sekitar RM17.43 sekilogram, menurut semakan.
Peniaga terpaksa jual mahal
Peniaga di Pasar Basah Pendang, Mahadi Ismail, 48 memberitahu Malaysiakini kenaikan harga kelapa sejak beberapa minggu lalu menjadi punca utama lonjakan harga santan.
"Harga sekarang saya jual RM20 sekilogram sejak dua minggu lalu. Saya dengar di tempat-tempat lain ada yang naik sampai RM24 sekilogram.
"Kita terpaksa naikkan harga sebab kos kelapa biji meningkat. Sekarang harga kelapa lebih RM3 sebiji. Nak berniaga pun tak berapa syok, tapi terpaksa walaupun untung sedikit.

"Dengan harga sekarang, rasa agak teruk (untung) berbanding ketika harga santan masih RM13 sekilogram sebelum ini," katanya.
Seorang lagi peniaga dari Kuantan, Shamsudin, 56 berkata kenaikan harga kali ini paling drastik sejak dia memulakan perniagaan santan lebih 30 tahun lalu.
"Ini kali pertama tengok kenaikan mendadak harga kelapa mencecah RM3 sebiji. Jadi saya pun tiada pilihan, terpaksa jual santan dengan harga lebih tinggi."
"Rasa tak masuk akal, tapi hakikatnya beginilah. Tetapi pengguna masih boleh buat pilihan. Sekiranya nak harga murah, boleh beli santan cair dengan harga RM12 sekilogram," katanya.
Harga RM20 sekilo di beberapa negeri
Selain Pahang dan Kedah, harga santan RM20 sekilogram turut direkodkan di beberapa lokasi di Selangor, antaranya Pasar Bangi dan Pasar Basah Kapar.
Di Negeri Sembilan, harga RM20 sekilogram hanya direkodkan di Pasar Awam Bahau.
Sementara itu, semakan harga di Kelantan mendapati harga santan segar di negeri itu telah meningkat ke RM18 sekilogram di beberapa pasar di Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah.
Di Terengganu, harga tertinggi yang direkodkan setakat ini RM18 sekilogram, khususnya di pasar sekitar Kuala Terengganu.
