Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek bunuh wanita peniaga makanan dikenal pasti

Polis sudah mengenal pasti suspek utama kes bunuh seorang wanita yang mayatnya ditemui berhampiran jambatan Tanjung Lumpur, dekat Kuantan, Pahang, petang semalam.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata suspek berusia 37 tahun itu dipercayai membuat pesanan makanan dijual wanita terbabit secara dalam talian, sebelum bertindak membunuh mangsa.

"Suspek bukan berasal dari negeri ini (Pahang) tapi menetap di sekitar daerah Kuantan.

"Polis sedang menyiasat motif utama jenayah ini memandangkan pemeriksaan awal mendapati barangan kemas milik mangsa hilang ketika mayat ditemui," katanya.

Yahaya ditemui media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Pahang dan Pengarah Cawangan Khas Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan hari ini.

Dia turut memberitahu suspek pernah membuat pesanan makanan daripada mangsa sebelum ini.

"Mungkin suspek pernah nampak mangsa pakai banyak barang kemas ketika menghantar pesanan, cuma polis masih siasat motif sebenar kejadian," katanya.

Yahaya turut memaklumkan suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes.

Katanya, proses bedah siasat terhadap mangsa dilakukan jam 9 pagi tadi.

"Lepas selesai bedah siasat, baru kita dapat tahu punca sebenar kematian mangsa.

"Ketika ditemui, memang ada kesan kecederaan, tapi kita tunggu laporan bedah siasat," ujarnya.

Yahaya turut mengesahkan mangsa sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak.

Dia bagaimanapun menjelaskan bahawa mangsa dan suspek tidak mempunyai hubungan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu menerusi kenyataan media memaklumkan mayat seorang peniaga makanan wanita ditemukan di tepi sungai berhampiran jambatan Tanjung Lumpur.

Wan Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 12.45 tengah hari.

"Menurut saksi, mangsa datang ke kawasan tempat kejadian untuk menjalankan urus niaga secara hantaran kira-kira 7.30 malam semalam (kelmarin)," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS