PH dan BN Kedah bersiap sedia menjadi "kerajaan menanti" pada pilihan raya negeri akan datang.
Pengerusi PH Kedah, Saifuddin Nasution Ismail berkata kedua-dua gabungan itu akan berusaha meraih sokongan pengundi di negeri itu.
“Pertemuan baru-baru ini, kami mengambil kesempatan untuk berbincang tentang bagaimana kami di Kedah boleh memposisikan diri kami sebagai pembangkang yang boleh dipercayai dan efektif...pada masa sama mempersiapkan diri untuk menjadi 'goverment in waiting',” katanya dipetik Sinar Harian.
Saifuddin ditemui ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra Bersama Prospek dan Keluarga Sempena Sambutan Hari Thaipusam di Penjara Sungai Petani.
Terdahulu, Saifuddin mengesahkan dilantik ke jawatan Pengerusi PH Kedah bagi menggantikan Mahfuz Omar yang memegang jawatan itu sejak 2022.
Ketika ditanya adakah pelantikan itu menguatkan desas-desus dia akan terus bertanding di Kedah, Saifuddin berkata, perkara itu masih terlalu jauh dan dia mahu menumpukan perhatian mengetuai parti terlebih dahulu.
Kedah kini ditadbir oleh PN yang memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN pada pilihan raya negeri lalu.
Pada pilihan raya itu, PAS menang 21 kerusi, Bersatu 11 kerusi dan Gerakan memperoleh satu kerusi.
Parti komponen PH iaitu PKR dan DAP memperoleh baki tiga kerusi.
Sementara itu Berita Harian memetik Saifuddin sebagai berkata, PH dan BN Kedah akan mengadakan Konvensyen Kerajaan Perpaduan pada Sabtu ini (15 Feb) di Sungai Petani.
Menurutnya kira-kira 1,000 ahli daripada kedua-dua gabungan dijangka hadir pada konvensyen tersebut.