Keputusan untuk tidak membenarkan ahli PKR bertanding bagi dua jawatan tertinggi parti akan menghalang persiapan parti bagi era selepas Anwar Ibrahim melepaskan jawatan presiden.
Menurut pakar sains politik Universiti Sunway, Wong Chin Huat, had penggal tiga kali bagi jawatan parti bermakna kepimpinan Anwar sebagai presiden PKR akan berakhir tidak lama lagi.

“Memandangkan tempoh jawatan Anwar sebagai presiden parti akan tamat dalam tiga hingga empat tahun lagi, adakah beliau akan mengutamakan kepentingan peribadinya berbanding kepentingan parti, seperti yang dilakukan oleh Joko Widodo di Indonesia tahun lalu?
“Lebih baik bagi Anwar, kestabilan PKR dan Malaysia jika beliau menetapkan had penggal 10 tahun bagi jawatan perdana menteri, supaya peralihan kuasa yang tidak dapat dielakkan menjelang 2032 (ketika Anwar berusia 85 tahun) dapat diperjelaskan lebih awal,” kata Wong kepada Malaysiakini.
Perlembagaan PKR membenarkan setiap presiden berkhidmat sehingga tiga penggal. Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh sebelum ini menjelaskan bahawa ini tidak bermakna Anwar tidak boleh terus sebagai perdana menteri walaupun dia bukan lagi presiden parti.
Semalam, pengerusi biro antarabangsa PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, berkata bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden parti mungkin tidak akan dipertandingkan dalam pemilihan dalaman pada bulan Mei.
Shamsul berkata, cadangan untuk tidak mempertandingkan kedua-dua jawatan itu adalah berdasarkan perbincangan dalaman dan maklum balas daripada sesi rundingan terdahulu.

Namun, tiada keputusan rasmi dibuat setakat ini, tetapi cadangan tersebut bertujuan untuk mengekalkan kestabilan dalaman parti, tambahnya.
Bagaimanapun, Wong berkata langkah menghalang ahli parti daripada bertanding dua jawatan tertinggi ini hanya akan memberi ketenangan kepada PKR dalam jangka pendek.
Langkah sebegini bukan sahaja tidak demokratik, tetapi juga akan menjejaskan imej PKR sebagai parti reformis, katanya.
“Jika ini dilakukan melalui resolusi yang melarang pertandingan, maka ia jelas tidak demokratik, dan PKR akan dilihat sebagai parti yang mengamalkan kuku besi, seperti Umno.

“Namun, jika perkara ini berlaku kerana pemimpin menyokong penyandang jawatan dan tiada sesiapa yang mahu mencabar mereka, seperti Bersatu, maka kesannya terhadap imej PKR adalah kurang teruk.
“Dalam apa jua keadaan, ia bukan sesuatu yang membanggakan bagi PKR jika dibandingkan dengan Umno atau Bersatu dalam soal demokrasi dalaman,” katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan sekolah komunikasi dan media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ismail Sualman, berkata terdapat kelemahan jika PKR tidak membenarkan ahli bertanding bagi dua jawatan tertinggi.
“PKR berisiko menghalang bakat dalaman daripada berkembang, yang boleh membawa kepada kelesuan kepimpinan. Ia juga boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli yang merasa dipinggirkan.

“Parti ini juga boleh kehilangan kepercayaan pengundi kerana masyarakat mungkin melihatnya lebih mengutamakan hierarki berbanding pembaharuan demokrasi,” katanya.
Secara realistik, Ismail berkata, baik Anwar mahupun timbalannya, Rafizi Ramli, tidak berisiko kehilangan jawatan mereka jika pertandingan terbuka diadakan.
Pada pemilihan sengit parti sebelum ini bagi merebut jawatan timbalan presiden, Rafizi menewaskan Saifuddin Nasution Ismail yang dikatakan mendapat restu Anwar dengan 19,000 undi.
Iswmail berpendapat bahawa kedua-dua Anwar dan Rafizi masih dominan dalam parti, tetapi Anwar mungkin kehilangan jawatan presiden sekiranya ada pencabar yang menentangnya atas isu pentadbiran seperti kenaikan kos sara hidup dan kompromi politik.
Begitu juga, profesor madya sains politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syaza Shukri, menyatakan manfaat daripada pertandingan terbuka.
“Jika mereka membenarkan jawatan ini dipertandingkan, mereka akan memperoleh kredibiliti bahawa presiden dan timbalan presiden benar-benar pemimpin yang dipilih oleh ahli dan layak untuk menerajui parti bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Dengan tidak membenarkan pertandingan, mereka membuka ruang kepada lebih banyak kritikan daripada rakyat Malaysia secara umum dan pihak pembangkang bahawa PKR telah menyimpang daripada prinsip asalnya,” katanya.
Jika keutamaan PKR benar-benar adalah kestabilan, maka parti itu tidak seharusnya memberi peluang kepada pihak luar untuk menyerang mereka, tambahnya.
“Bagaimana ia boleh dianggap stabil jika orang boleh menggunakan perkara ini untuk menentang mereka?” soalnya.




