ADS
mk-logo
Berita
Rafidah: Kerajaan mesti segera nilai impak tarif baru Trump
Diterbitkan:  Feb 3, 2025 8:20 AM
Dikemaskini: 12:20 AM

Kerajaan perlu segera menjalankan penilaian menyeluruh mengenai kesan tarif Amerika Syarikat ke atas China, Kanada, dan Mexico terhadap syarikat Malaysia serta syarikat asing yang beroperasi di Malaysia, kata Rafidah Aziz.

Bekas menteri perdagangan, dan industri itu berkata tarif baru itu akan memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada negara ketiga.

"Mereka yang terjejas, sama ada secara langsung atau tidak langsung, adalah negara lain dalam rantaian bekalan berkaitan, terutamanya pembekal atau pengimport pelbagai produk perantaraan, bagi pengilang, pemasang, dan pengeluar produk akhir, khususnya perusahaan kecil dan sederhana di negara-negara tersebut," tambahnya.

Menurut Rafidah, kerajaan mesti menentukan sama ada tarif ini akan memberi kesan secara langsung atau tidak langsung kepada syarikat-syarikat tempatan, sama ada terdapat risiko negatif yang perlu diuruskan atau potensi keuntungan ekonomi yang perlu dipersiapkan.

"Mentaliti 'perang perdagangan' di kalangan kuasa ekonomi utama boleh memberi kesan yang mengganggu kepada negara lain, disebabkan hubungan perdagangan dan pelaburan dalam infrastruktur ekonomi global.

ADS

"Jelas sekali, kuasa ekonomi utama telah mengetepikan dan mengabaikan prinsip 'perdagangan bebas' yang mereka laungkan selama beberapa dekad ketika berunding dengan negara membangun dalam pelbagai forum perdagangan sebelum ini.

"Malaysia perlu bertindak balas dengan secukupnya dan menguruskan sebarang kesan daripada perang tarif yang sudah mula berlaku dengan pantas," katanya.

Semalam, Trump mengarahkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas import dari Kanada dan Mexico, serta 10 peratus ke atas barangan dari China, yang berisiko mencetuskan perang perdagangan yang menurut ahli ekonomi boleh memperlahankan pertumbuhan global dan mencetuskan  semula inflasi.

ADS

Susulan itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, mengumumkan bahawa tarif balas sebanyak 25 peratus akan dikenakan ke atas beberapa import dari Amerika Syarikat.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, juga mengarahkan tarif balas sebagai tindak balas terhadap keputusan AS.

Kerajaan China pula mengecam tindakan pentadbiran Trump yang mengenakan tarif sebanyak 10 peratus ke atas import dari China, sesuatu yang telah lama diancam oleh AS.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS