Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP Lee Chin Chen melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan polis memanggil 13 pelajar universiti untuk disoal siasat berhubung penyertaan mereka dalam perhimpunan antirasuah pada 25 Januari.
Dia menyifatkan langkah itu sebagai pencabulan hak perlembagaan untuk berhimpun secara aman.
Lee menegaskan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan kepada orang ramai sebelum perhimpunan itu bahawa kerajaan tidak akan menghalang perhimpunan berkenaan.
Tambahan pula, katanya, Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa menyatakan selepas protes itu bahawa ia berjalan dengan aman tanpa sebarang pelanggaran.
"Memandangkan dua faktor ini, saya melihat tiada justifikasi munasabah untuk polis memanggil sesiapa untuk disoal siasat. Tindakan sedemikian hanya menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan," kata Lee dalam satu kenyataan semalam.
Dia menambah bahawa walaupun polis mungkin mendakwa ia mengikut prosedur, namun memanggil peserta perhimpunan untuk disoal siasat boleh menakutkan untuk orang lain menyertai perhimpunan akan datang dan memberi gambaran bahawa kerajaan menggunakan kuasanya untuk menakut-nakutkan orang ramai.
Dia berkata memandangkan kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Anwar benar-benar komited untuk memerangi rasuah maka ia harus menyokong usaha pencegahan rasuah.
Tambahnya, polis harus bekerjasama dengan inisiatif sedemikian dan bukannya menggunakan cara tidak langsung untuk menghalang penunjuk perasaan.
Lee menggesa polis supaya segera menarik balik langkah memanggil penunjuk perasaan dan berhenti mengganggu individu yang menyertai demonstrasi aman.
Ketika dihubungi semalam, penyelaras mobilisasi penganjur perhimpunan, Tobey Qi-Sean, memberitahu Malaysiakini dia menerima panggilan daripada polis.

“Senarai 13 nama pelajar telah diberikan dan kita dikehendaki memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad ini pada pukul 1 tengah hari,” katanya.
Sebelum ini, 'Himpunan Rakyat Benci Rasuah' yang diadakan Sabtu lalu menyaksikan kira-kira 200 penunjuk perasaan berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka.
Menjelang protes, perhimpunan itu menarik perhatian dengan
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan keperluan mendapatkan kelulusan dari pemilik premis himpunan diadakan, seperti ditetapkan polis.
Namun, sehari sebelum perhimpunan, Anwar menyatakan dia tidak ada bantahan terhadap demonstrasi itu.
Tobey berkata dua daripada 13 pelajar itu berasal dari Universiti Malaysia Sabah dan dikehendaki memberikan keterangan mereka di ibu pejabat polis daerah Kepayan di Kota Kinabalu pada Jumaat, 7 Feb.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affend Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan kes itu dan menyatakan ia disiasat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
"Kami memanggil mereka untuk merekodkan kenyataan mereka dan melengkapkan siasatan," katanya ringkas.
Demonstrasi bukan jenayah
Sementara itu, kumpulan anak muda Mandiri mengecam sekeras-kerasnya pihak berkuasa yang memanggil 13 individu berkenaan, menegaskan perhimpunan aman bukanlah satu jenayah.
Dalam satu kenyataan, Wong KuKui dari Mandiri mempersoalkan mengapa mereka yang memperjuangkan keadilan disiasat dan bukannya individu yang terlibat dalam skandal rasuah.
"Kenapa mereka yang mengangkat suara rakyat disoal siasat? Siasatan sebenar harus tertumpu kepada mereka yang terlibat dalam rasuah—siasat Adun Sabah yang dikaitkan dengan skandal, siasat salah urus dalam kerajaan!"
Dia juga mengkritik pendekatan kerajaan untuk melakukan pembaharuan, mempersoalkan sama ada Anwar telah melupakan sejarah protes jalanannya sendiri dalam memperjuangkan keadilan.
“Apakah ertinya reformasi jika, di bawah kerajaan Madani, aktivis dan pelajar masih dipanggil untuk disoal siasat semata-mata kerana berhimpun secara aman?
"Apakah ertinya reformasi jika setiap kali rakyat bersuara, Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan untuk menakut-nakutkan mereka?" soalnya.
Dia menggesa kerajaan supaya tidak mengulangi kesilapan pentadbiran terdahulu dengan menekan suara awam, mengingatkan mereka bahawa kebebasan bersuara dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dia menggesa siasatan dihentikan serta-merta, menegaskan bahawa aktivis bukan penjenayah dan bahawa protes secara aman tidak boleh dianggap sebagai jenayah.