Polis mengesahkan seorang pengunjung cedera selepas sebuah pelampung permainan gelongsor air kaca di sebuah taman tema di Seksyen 7 di Shah ALam, dipercayai terjatuh dan menimpa seorang pengunjung kira-kira pukul 11 malam pada 29 Jan lepas.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima laporan pada pukul 1.08 pagi tadi berhubung insiden berkenaan daripada mangsa berumur sekitar 20-an yang dikatakan melintas bahagian bawah gelongsor itu.
“Mangsa bersama keluarga mengunjungi taman tema itu. Secara tiba-tiba belon pelampung terjatuh dari penyangkut dan terkena pada bahagian sisi tubuh mangsa.
“Wanita itu telah menerima rawatan di sebuah klinik di Ken Rimba, Seksyen 16 di sini dan hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan yang serius,” katanya.
Mohd Iqbal berkata siasatan mendapati Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah mengeluarkan kompaun bertarikh 14 Nov 2024 atas kesalahan pembinaan gelongsor tanpa kelulusan bertulis daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 6 Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 iaitu beroperasi tanpa lesen dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan dengan perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah Inspektor Nor Sabryna Mohammad Tahar di talian 014-5130 450 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video berdurasi 13 saat berhubung insiden pelampung permainan gelongsor air kaca di sebuah taman tema di Shah Alam dipercayai terjatuh dan menimpa pengunjung.
- Bernama