Kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung usaha membangunkan semula Gaza tidak bermaksud kerajaan mengabaikan pembangunan negara, kata setiausaha politiknya, Muhammad Kamil Abdul Munim.
"Isu negara sentiasa menjadi fokus utama perdana menteri dan kerajaan Madani.
"Usaha membangun dan memulihkan semula Gaza adalah tanggungjawab moral mana-mana negara termasuk Malaysia untuk menggerakkan inisiatif tersebut," katanya kepada Malaysiakini.
Kamil menegaskan kenyataan perdana menteri perlu difahami dalam konteks yang lebih luas kerana ia melibatkan kerjasama dengan beberapa negara termasuk Jepun, serta inisiatif daripada rakyat dan pihak swasta.

"Tidak timbul isu pengabaian hak pembangunan di negara ini. PM dan kerajaan sejak awal memberi fokus dalam kerangka ekonomi Madani untuk meningkatkan mutu dan kualiti kehidupan rakyat," katanya yang juga timbalan ketua Pemuda PKR itu.
Menurut Kamil, walaupun kerajaan memberi tumpuan kepada keperluan domestik Malaysia tetap mempunyai tanggungjawab global dalam menyelaraskan pembangunan di Gaza.
"Sementara hal-hal ini dilaksanakan, negara punya tanggungjawab di peringkat global untuk memainkan peranannya bagi membantu menyelaraskan pembangunan di Gaza," katanya.
Isu Gaza alat serangan politik?
Kamil Munim turut mendakwa terdapat pihak tertentu yang cuba menenggelamkan segala usaha kerajaan dalam membantu Gaza.
"Penyakit 'alergi Gaza' ini terjadi akibat sikap beberapa pihak yang cuba mengenepikan fakta semasa dan dalam masa yang sama menenggelamkan segala usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan, serta gagal menghayati nilai ihsan dan kemanusiaan," katanya.
Terdahulu, Kamil diminta mengulas kenyataan bekas menteri Rafidah Aziz yang menegaskan keutamaan kerajaan sepatutnya diberikan kepada penyelesaian isu dalam negara sebelum menyalurkan komitmen pembangunan semula Gaza.

Rafidah menyatakan dia tidak menentang pembinaan semula Gaza tetapi berpendapat isu dalam negara yang lebih mendesak perlulah ditangani terlebih dahulu.
“Terlalu banyak yang perlu diselesaikan dan dilakukan di negara kita,” katanya.
Rafidah merujuk keadaan "menyedihkan" sekolah-sekolah di luar bandar.
"Begitu juga dengan kekurangan di hospital kerajaan luar bandar serta tempat ibadah,” katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Anwar pada 29 Jan lalu memaklumkan pembangunan semula Gaza akan melibatkan kerjasama antara kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.
Anwar juga pada 28 Jan berkata pemulihan Gaza yang hampir musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023 dijangka menelan kos lebih AS$1 trilion.
Menurutnya, jumlah yang besar diperlukan kerana pelbagai kemudahan asas seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah telah musnah sepenuhnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia telah dijemput Jepun menjadi pengerusi bersama dalam Persidangan mengenai Kerjasama antara Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD), yang akan memfokuskan pada usaha pembangunan semula Gaza.