Polis memanggil 13 pelajar universiti yang terlibat dalam perhimpunan antirasuah pada 25 Januari lalu untuk memberikan keterangan.
Penyelaras mobilisasi penganjur perhimpunan, Tobey Qi-Sean ketika dihubungi Malaysiakini memaklumkan dia menerima panggilan daripada pihak polis tengah hari tadi.
“Saya menerima panggilan dan pesanan ringkas daripada polis hari ini sekitar jam 12.30 tengah hari.
“Senarai 13 nama pelajar telah diberikan dan kami dikehendaki memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada Ahad ini pada pukul 1 tengah hari,” katanya.
Perhimpunan dinamakan 'Himpunan Rakyat Benci Rasuah' yang diadakan Sabtu lalu mengumpulkan kira-kira 200 peserta yang berarak dari pusat beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka.
Perhimpunan berkenaan mendapat perhatian berikutan kebimbangan dibangkitkan penganjur mengenai syarat yang dikenakan oleh pihak polis.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebelum ini turut mempertahankan pendirian pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehari sebelum perhimpunan itu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengatakan dia tidak mempunyai masalah untuk perhimpunan itu diteruskan.
Mengulas lanjut, Tobey berkata dua daripada 13 pelajar itu adalah dari Universiti Malaysia Sabah dan dikehendaki memberikan keterangan mereka di ibu pejabat polis daerah Kepayan di Kota Kinabalu pada Jumaat depan.
Tambahnya, kesemua 13 pelajar berusia antara 20 hingga 24 tahun itu hadir semasa perhimpunan itu.
“Daripada 13 itu, empat adalah peserta, manakala selebihnya adalah sebahagian daripada jawatankuasa penganjur. Keempat-empat yang hadir turut memberikan ucapan semasa perhimpunan itu,” katanya.
Tobey mempersoalkan siasatan yang dilakukan pihak polis, namun memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh.
“Kami akan beri kerjasama, tetapi kami mengecam bentuk ugutan ini oleh polis dan kerajaan kerana menyiasat kami.
“Peguam kami akan menemani kami, dan kami akan mengadakan sidang media selepas itu,” tambahnya.
Ketika dihubungi, Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affend Sulaiman mengesahkan kes tersebut sedang disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman.
"Kami akan memanggil mereka untuk merakam keterangan dan melengkapkan siasatan," katanya ringkas.