Susulan laporan berhubung permainan gelongsor air kaca di i-City yang beroperasi tanpa kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), PAS Selangor tampil mempersoalkan integriti penguat kuasa di negeri itu.
Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar turut mempersoalkan sejauh mana situasi sebenarnya kelulusan operasi pusat-pusat permainan dan pelancongan yang sedang beroperasi dengan bebas.
“Apakah sebenarnya masih banyak pusat-pusat pelancongan dan permainan yang masih belum mendapat kelulusan dan pada masa yang sama sedang beroperasi dengan bebas?
“Persoalan yang paling besar ialah, mengapa permainan yang amat merbahaya seperti itu boleh beroperasi secara bebas sebegitu rupa?
“Di mana integriti dan kecekapan pihak penguat kuasa oleh kerajaan Selangor? Apakah ada masalah dengan 'standard operating procedure (SOP)' dan undang - undang sedia ada?” soalnya dalam kenyataan media, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai mengulas pendedahan MBSA mengenai isu gelongsor air kaca di Taman Tema i-City yang belum mendapat kelulusan untuk memulakan operasi.
Ketua bahagian korporat dan perhubungan awam MBSA Mohd Azhar Mohd Sharif, menyatakan bahawa notis telah dikeluarkan untuk menghentikan pembinaan semasa fasa bangunan, tetapi ia tidak dipatuhi.
Akibatnya, kompaun telah dikeluarkan terhadap i-City pada 14 Nov 2024.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan komen i-City berkaitan isu ini.
Terdahulu Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof membangkitkan kebimbangan mengenai isu keselamatan susulan video tular kemalangan yang melibatkan seorang pengunjung.
Sementara itu Mohamed Sukri berkata, kejadian itu adalah perkara yang sangat menakutkan rakyat negeri Selangor khususnya buat ibu-bapa yang sedang meraikan cuti bersama anak-anak di tempat-tempat pelancongan, taman tema, pusat permainan dalam negeri Selangor.
“Kami juga ingin menyinggung pihak Kerajaan Negeri Selangor tentang kesediaan Kerajaan Negeri untuk program Tahun Melawat Selangor 2025 yang mensasarkan seramai lapan juta pelancong.
“Apakah isu penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur yang sering menjadi masalah di negeri Selangor ini akan juga memberi kesan negatif kepada program ini?
“PAS Selangor menyeru kepada kerajaan negeri untuk semak kembali segala persediaan dari sudut dasar dan teknikal secara komprehensif tanpa melihat isu ini dengan sebelah mata,” katanya.
Tambahnya lagi, imej dan kredibiliti negeri Selangor akan terjejas teruk sekiranya kerajaan negeri tidak serius dan mengambil sikap sambil lewa dalam hal ini.
“Jangan sampai berlakunya kemalangan jiwa sehingga meragut nyawa baru kita mahu fokus dan serius,” kata Mohamed Sukri.