Beberapa pemimpin DAP menempelak Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) kerana mengheret nama DAP dalam desakan mereka supaya seorang ketua menteri dari kalangan masyarakat India dilantik di Pulau Pinang.
Ini selepas Ketua Penerangan MIPP Suthan Mookaiah menyoal kenapa Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh tidak dilantik sebagai ketua menteri walaupun memperoleh jumlah undi tertinggi dalam pemilihan DAP negeri.
"PN memerintah Kedah, Kelantan, Terengganu (dan Perlis), namun tidak seorang pun pemimpin India atau bukan Melayu telah dilantik sebagai menteri besar.
"Jika MIPP benar-benar percaya kepada kepimpinan India, mengapa ia tidak berjuang untuk pemimpin India di negeri-negeri ini?"

"Adakah MIPP percaya tidak ada pemimpin India yang berkelayakan dalam PN?
“Jika ya, itu kegagalan mereka sendiri, bukan DAP," tegas satu kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Senator Dr A Lingeshwaran, Adun Kota Kemuning S Preakas dan Adun Bagan Dalam K Kumaran.
MIPP secara rasmi menyertai gabungan PN sebagai parti komponen pada April 2024.
Namun, perlu diingat di negeri-negeri yang mempunyai Sultan, perlembagaan negeri menetapkan calon menteri besar mestilah seorang Melayu-Muslim.
MIPP: Kaum India juga berhak pimpin
Semalam, Suthan menegaskan masyarakat India turut berhak untuk memimpin Pulau Pinang kerana peranan besar yang dimainkan dalam pembangunan negara.
Dia kemudian memetik kes Ramkarpal sebagai contoh bagaimana masyarakat India terus diketepikan dalam pemilihan kepimpinan tertinggi.
"Dia dinafikan peluang untuk memimpin negeri itu dan menjadi ketua menteri. Sebabnya? Ia adalah 'rahsia terbuka'.

"Penindasan ini mesti berhenti, tanpa mengira parti politik," dakwa Suthan.
DAP mengamalkan sistem pemilihan dua peringkat, dengan perwakilan parti memilih ahli jawatankuasa kepimpinan kebangsaan dan negeri. Ahli jawatankuasa yang dipilih ini kemudiannya mengundi bagi menentukan kepimpinan dalam jawatankuasa itu.
Melalui sistem ini, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim terpilih sebagai ketua DAP Pulau Pinang manakala Ramkarpal dilantik sebagai timbalannya.
Wakil DAP turut membidas MIPP kerana mendesak mereka membuktikan sifat inklusif parti, sedangkan DAP merupakan pihak pertama yang mewujudkan jawatan timbalan ketua menteri bagi masyarakat India di Pulau Pinang.
Kini, jawatan timbalan ketua menteri dipegang pemimpin DAP Jagdeep Singh Deo dan wakil PKR Mohamad Abdul Hamid.
Sementara itu, pemimpin DAP berkenaan juga menegaskan kepimpinan tidak ditentukan oleh kaum, sebaliknya berdasarkan kepercayaan dan kecekapan seseorang individu.

"DAP tidak terlibat dalam pelantikan simbolik untuk kepentingan politik tetapi memastikan kepimpinan diberikan kepada mereka yang telah membuktikan kemampuan mereka dalam berkhidmat untuk rakyat.
"Jika MIPP mahu bercakap tentang melanggar halangan, ia harus bermula dalam gabungannya sendiri. Sekiranya mereka serius mahu memperkasakan kepimpinan India, mari kita lihat mereka mengambil tindakan sebenar di negeri-negeri yang ditadbir PN.
"Sehingga itu, hujah-hujah mereka hanyalah retorik kosong. Sebaliknya daripada bersikap rasis, MIPP perlu lebih matang dan memberi tumpuan kepada dasar serta rancangan ekonomi yang betul," kata mereka lagi.