ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih: Cadangan pindaan himpunan aman perlu proses libat urus
Diterbitkan:  Jan 31, 2025 5:07 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Bersih menyambut baik cadangan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail untuk meminda undang-undang bagi memudahkan penganjuran himpunan aman.

Pengerusinya Muhammad Faisal Abdul Aziz menyifatkan cadangan itu sebagai langkah memelihara kebebasan rakyat untuk berhimpun seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Namun tegasnya, sebelum sebarang pindaan dibuat, sesi libat urus bersama pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta aktivis masyarakat harus dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan pindaan yang dibuat benar-benar bersifat progresif.

“Libat urus ini penting berasaskan kegusaran atas sebarang inisiatif pindaan undang-undang yang dilakukan kerajaan yang boleh menjurus ke arah kekangan hak dan kebebasan sivil,” katanya dalam kenyataan kepada Malaysiakini, hari ini.

ADS

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat kerajaan untuk meminda undang-undang bagi memudahkan perhimpunan aman dijalankan.

Terdahulu Saifuddin berkata, cadangan pindaan undang-undang itu bagi membolehkan perhimpunan aman diadakan tanpa memerlukan proses kelulusan yang panjang.

“Saya cenderung untuk katakan, undang-undang ini sifatnya dinamik. Undang-undang berkaitan perhimpunan aman ini dibuat pada 2012. Barangkali (boleh dicadangkan) supaya tak perlu 'approval processs', jika ada satu kawasan yang dijadikan tempat untuk buat perhimpunan.

"Perlu juga untuk penganjur masih memaklumkan pihak polis mengenai perhimpunan yang akan diadakan dan polis pun buatlah kawalan di kawasan terbabit. Mungkin kaedah ini saya lihat, boleh legakan (pandangan ramai yang anggap ada sekatan berkaitan perhimpunan)," katanya dipetik Berita Harian.

Saifuddin berkata hak dan kebebasan rakyat untuk berhimpun masih dipertahankan, tetapi terdapat "peraturan" yang munasabah ditetapkan untuk mengimbangi keperluan menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Dia turut menyatakan kerajaan tidak pernah menukar pendirian mengenai hak untuk berhimpun, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu Faisal turut menegaskan penyertaan dalam himpunan aman tidak harus dianggap sebagai satu kesalahan jenayah.

“Penting untuk ditegaskan bahawa perhimpunan aman adalah satu hak asasi rakyat dan ia tidak harus dianggap sebagai satu kesalahan jenayah oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sebelum ini Saifuddin dan pihak berkuasa dikecam berhubung dakwaan cuba menyekat perhimpunan antirasuah yang dianjurkan pelajar di Kuala Lumpur pada 25 Jan lalu.

Bagaimanapun perhimpunan itu berlangsung tanpa sebarang halangan daripada pihak polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS