Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Chegubard disiasat berhubung dakwaan kes rogol anak menteri

Pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin hari ini dipanggil polis susulan dakwaannya mengenai kes rogol membabitkan anak Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Chegubard hadir bersama peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali di Ibu Pejabat Polis (IPD) Brickfields, Kuala Lumpur, kira-kira jam 10 pagi.

“Saya dipanggil ke IPD Brickfields berhubung isu anak Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution, dan saya disiasat di bawah Seksyen 233 SKMM,” katanya kepada pemberita di luar perkarangan IPD Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu Chegubard pada Rabu lalu membuat hantaran di media sosial dengan mempersoalkan tindakan pihak polis berhubung aduan yang dibuat oleh seorang wanita terhadap anak Saifuddin.

Dia antara lain mempersoalkan kenyataan Ketua Polis Negara, Razarudin Hussain yang mengatakan pasangan berkenaan sudah bernikah, selain sijil nikah mereka adalah sah.

Mengulas lanjut, Chegubard berkata dia tidak tahu mengapa dia dipanggil pihak polis hari ini.

Katanya ini kerana dia telah membatalkan hasrat untuk membuat laporan polis selepas pengadu menarik balik laporan rogol yang dibuat terhadap anak menteri berkenaan.

“Saya mengesyaki bahawa ini semua ada kaitan dengan pemilihan PKR bulan Mei ini. Di mana semua orang tahu (Presiden PKR) Anwar Ibrahim sedang mempersiapkan Saifuddin untuk lawan (timbalan presiden) Rafizi Ramli dan itu bukan rahsia.

“Dan ada orang macam Fahmi Fadzil contohnya, merasa kenapa Anwar tak pilih dia, dia kan baik, pilih dia untuk lawan Rafizi lagi baguskan?

“Maka polemik-polemik ini menyebabkan akhirnya kes ini dipergunakan, saya syak dan yakin bahawa kes ini dipergunakankan oleh pihak-pihak dalam PKR yang sedang bertembung,” katanya.

Pada 7 Januari lalu, Chegubard mendakwa seorang anak menteri merogol seorang wanita dan mengatakan akan membuat laporan polis.

Bagaimanapun, dia membatalkan hasrat itu atas alasan pengadu telah menarik balik laporan polisnya.

Pada masa sama, saluran Telegram pembocor maklumat, Edisi Siasat menyiarkan salinan laporan polis oleh seorang wanita yang mendakwa anak menteri berkenaan memaksanya menggugurkan kandungan.

Pengadu membuat laporan polis itu pada 1 Januari dan siasatan dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan ugutan jenayah.

Dalam laporan polis itu, wanita itu turut mendakwa anak menteri berkenaan cuba menendang perutnya.

Pada 11 Januari lalu, Saifuddin menegaskan anaknya tidak kebal daripada undang-undang dan siasatan perlu dijalankan secara adil.

Razarudin sebelum ini dilaporkan berkata siasatan telah dilengkapkan dan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS