ADS
mk-logo
Berita
Afdlin dakwa ada agenda dendam isu tuduhan salah laku kontrak DBKL
Diterbitkan:  Jan 31, 2025 12:22 PM
Dikemaskini: 4:22 AM

Pelakon yang kini menceburi politik Afdlin Shauki menafikan dakwaan salah laku terhadapnya yang dibangkitkan akaun Telegram Edisi Siasat, yang baru-baru ini menuduhnya menerima kontrak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bernilai berjuta-juta ringgit tanpa melalui proses yang betul.

Dalam satu kenyataan, ahli lembaga penasihat DBKL itu mendakwa tuduhan itu adalah cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan imejnya dan bermotifkan cemburu dan dendam.

“Pertama sekali, saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa telah terdapat apa-apa unsur salah laku dalam perolehan projek tersebut.

"Ini merupakan sebuah usaha oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk memburukkan nama saya. Agenda pihak ini hanya didorong oleh perasaan hasad dengki dan dendam yang tidak bertempat," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagramnya.

Menurut Afdlin, dia juga telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan menggesa orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat.

ADS

“Saya juga bersedia untuk memberi kerjasama penuh dalam mana-mana siasatan yang dijalankan berhubung perkara ini oleh mana-mana agensi penguatkuasaan. Fitnah dan tohmahan berniat jahat ini tidak seharusnya dibiarkan untuk berleluasa.

"Saya yakin dan pasti dengan izin Allah SWT akhirnya kebenaran akan tersuluh dan keadilan akan ditegakkan," kata Afdlin.

Awal minggu ini, akaun Telegram Edisi Siasat menyiarkan mesej menuduh Afdlin melakukan salah laku dalam perolehan beberapa projek DBKL membabitkan karya kreatif.

Susulan itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif dilaporkan mengesahkan DBKL telah melancarkan siasatan dalaman berikutan dakwaan itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS