Datuk Bandar Washington DC memaklumkan operasi menyelamat masih diteruskan selepas sebuah pesawat penumpang dan helikopter tentera terhempas di Sungai Potomac lewat Rabu malam, lapor Agensi Anadolu.
"Kedua-dua pesawat berada di dalam air. Fokus utama sekarang adalah menyelamatkan mangsa," kata Muriel Bowser pada sidang media.
Beliau berkata demikian selepas sebuah pesawat jet penumpang milik syarikat penerbangan serantau American Airlines bertembung di udara dengan helikopter Black Hawk milik Tentera Darat Amerika Syarikat sebelum terhempas ke dalam Sungai Potomac berhampiran Reagan National Airport di Washington pada Rabu malam.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) memaklumkan bahawa PSA Airlines mengendalikan Penerbangan 5342 bagi pihak American Airlines, yang berlepas dari Wichita, Kansas.

"Pesawat penumpang yang dalam perjalanan ke lapangan terbang ini bertembung dengan sebuah helikopter tentera," kata Bowser kepada pemberita di lapangan terbang, tanpa mengulas lanjut mengenai operasi menyelamat.
"Setakat malam ini, kami hanya dapat mengesahkan jumlah individu di dalam setiap pesawat iaitu 64 orang di dalam pesawat American Airlines dan tiga orang di dalam helikopter tentera, namun kami tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai usaha menyelamat," katanya.
Sebelum ini, American Airlines mengesahkan bahawa terdapat 60 penumpang dan empat anak kapal di dalam pesawat berkenaan.
Menurut seorang pegawai kanan, tiga anggota Tentera Darat Amerika Syarikat berada di dalam helikopter Black Hawk, namun tiada pegawai atasan yang menaiki pesawat itu.

Media tempatan melaporkan bahawa setakat ini, sejumlah 18 mayat telah ditemukan.
Datuk Bandar itu berkata pihak berkuasa berkaitan sedang melaksanakan operasi menyelamat di Sungai Potomac.
"Mereka berusaha sedaya upaya dalam keadaan yang sangat gelap dan sejuk, serta air yang dingin, bagi melaksanakan operasi menyelamat ini," katanya.
Reagan National Airport memaklumkan bahawa semua ketibaan dan pelepasan penerbangan di lapangan terbang itu telah dihentikan sepanjang malam.
- Bernama-AA