GLOBAL | Sebanyak 18 mayat ditemukan di Sungai Potomac susulan perlanggaran antara sebuah pesawat penumpang dan helikopter Black Hawk milik tentera berhampiran Reagan National Airport di Washington, D.C. pada Rabu, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan.
Tiada mangsa terselamat ditemukan di sungai di mana pesawat yang berlanggar itu terhempas manakala operasi menyelamat masih dijalankan, menurut CNN.
Dalam satu kenyataan, American Airlines yang mengendalikan pesawat penumpang itu memaklumkan jet berkenaan membawa 60 penumpang dan empat kru. Syarikat penerbangan itu juga telah membuka talian khas untuk waris penumpang pesawat berkenaan.
Menurut CNN yang memetik pegawai pertahanan AS, tiga askar berada di dalam helikopter Black Hawk itu.
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dalam satu kenyataan berkata beliau telah "dimaklumkan sepenuhnya mengenai nahas tragis itu" dan sedang "memantau situasi serta akan memberikan maklumat lanjut apabila tersedia".
Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth pula berkata di platform sosial X bahawa Pentagon sedang "secara aktif memantau" keadaan itu dan "bersiap sedia untuk membantu jika diperlukan".
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) menyatakan perlanggaran udara itu berlaku sekitar 9 malam EST (0200 GMT Khamis), membabitkan sebuah jet penumpang yang berlepas dari Wichita, Kansas dan sebuah helikopter Black Hawk tentera. Semua pelepasan dan ketibaan dari lapangan terbang telah dihentikan.
- Bernama-Xinhua