ADS
mk-logo
Berita
Trump: Pesawat penumpang, heli tentera berlanggar boleh elak
Diterbitkan:  Jan 30, 2025 5:05 PM
Dikemaskini: 9:31 AM

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada awal Khamis berkata perlanggaran udara berhampiran Reagan National Airport di Washington "sepatutnya dapat dielak," lapor Agensi Anadolu.

"Pesawat itu berada dalam laluan yang sempurna dan rutin ke lapangan terbang. Helikopter itu pula terbang terus ke arah pesawat untuk jangka masa yang lama.

"Ia malam yang terang, lampu pada pesawat menyala, mengapa helikopter itu tidak naik atau turun, atau membelok?

"Mengapa menara kawalan tidak memberi arahan kepada helikopter tentang apa yang perlu dilakukan, dan bukannya bertanya sama ada mereka melihat pesawat itu?

ADS

"Ini adalah situasi yang buruk dan kelihatan seperti ia seharusnya boleh dielak.

“Tidak baik!!!" kata Trump di platform media sosial Truth Social.

Kenyataan beliau dibuat susulan perlanggaran udara antara sebuah jet penumpang milik American Airlines dengan sebuah helikopter Black Hawk milik Tentera Darat AS sebelum terhempas ke Sungai Potomac berhampiran Reagan National Airport pada Rabu malam.

"Jet penumpang Bombardier CRJ700 milik PSA Airlines berlanggar di udara dengan helikopter Sikorsky H-60 ketika menghampiri Landasan 33 di Reagan National Airport Washington kira-kira 9 malam waktu tempatan," menurut kenyataan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA).

Pesawat yang dikendalikan oleh American Airlines itu berlepas dari Wichita, Kansas, menurut FAA.

American Airlines mengesahkan terdapat 60 penumpang dan empat kru di dalam pesawat berkenaan.

- Bernama-AA


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS