ADS
mk-logo
Berita
NGO ulangi gesaan bawa pakar jenayah antarabangsa siasat kematian Beng Hock
Diterbitkan:  Jan 30, 2025 3:55 PM
Dikemaskini: 7:55 AM

Polis digesa menggunakan khidmat pakar siasatan jenayah antarabangsa untuk mengetuai siasatan kes kematian Teoh Beng Hock.

Pengerusi Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi Teoh Beng Hock, Ng Yap Hwa mengulangi gesaan daripada keluarga Teoh, selain meminta pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh secara bebas dan telus.

"Kita perlukan pendekatan baru dalam mencari kebenaran dan keadilan dalam kes Teoh, kerana 15 tahun ketidakadilan adalah terlalu lama," katanya kepada Free Malaysia Today.

November lalu, keluarga Teoh menggesa kerajaan membawa pakar antarabangsa bagi membantu siasatan supaya kes itu dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

ADS

Ng mengulangi gesaan selepas Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain pada Isnin lalu (27 Jan) berkata, saksi akan dipanggil semula untuk dirakam keterangan selepas Tahun Baharu Cina.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009, di lantai koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam selepas disoal siasat semalaman di ibu pejabat SPRM Selangor di tingkat 14 bangunan yang sama.

Ketika kejadian itu, Teoh merupakan pembantu politik kepada Exco Selangor dan Adun Seri Kembangan dari DAP, Ean Yong Hian Wah.

Pada 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja memutuskan bahawa Teoh didorong untuk membunuh diri berikutan soal siasat agresif suruhanjaya itu.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan kematiannya disebabkan oleh perbuatan "orang atau orang yang tidak dikenali", termasuk pegawai SPRM yang menyoalnya semalaman sebelum dia ditemui mati.

Ng berkata pegawai SPRM yang terlibat mesti disiasat dan polis perlu mempertimbangkan semua kemungkinan, termasuk pembunuhan.

“Ini adalah kematian dalam tahanan SPRM. Polis mesti menyiasat lima pegawai utama SPRM di bawah Seksyen 302 atau Seksyen 304 (Kanun Keseksaan),” katanya.

Ng berkata siasatan tidak seharusnya dibuat sambil lewa memandangkan Jabatan Peguam Negara telah menolak kertas siasatan mengenai kes ini sebanyak lapan kali.

“Ini menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena,” tambahnya.

Selain itu, Ng berkata kerajaan telah berdiam diri mengenai perkara ini sejak Perdana Menteri Anwar Ibrahim bertemu dengan keluarga Teoh pada 1 Ogos tahun lalu.

Ketika bertemu keluarga Teoh, Anwar mengumumkan polis akan membuka semula siasatan mengenai kematian lelaki itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS