Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan atau MIPP? Dua-dua pun tak relevan, kata Urimai
Diterbitkan:  Jan 30, 2025 2:10 PM
Dikemaskini: 6:10 AM

Sama ada Gerakan atau Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), kedua-dua parti itu tidak layak menerajui PN di Pulau Pinang, dakwa Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Timbalan pengerusi Urimai, David Marshel berkata ini kerana kedua-dua parti itu sehingga kini tidak mampu menembusi negeri yang menjadi kubu kuat DAP itu.

Dia menyifatkan dakwaan bahawa mereka memiliki sokongan sebagai "bodoh sombong" dengan menyatakan, kedua-dua parti itu “hampir tiada sokongan daripada masyarakat bukan Melayu, bukan sahaja di Pulau Pinang, malah di seluruh negara.”

"Berdasarkan realiti ini, dakwaan pemimpin mereka mendapat sokongan padu daripada masyarakat bukan Melayu adalah tidak berasas dan mengelirukan," tambahnya.

Marshel turut menegaskan bahawa ahli MIPP sebahagian besarnya terdiri daripada bekas ahli MIC, namun sehingga kini gagal memberi impak ketara.

"Dalam tiga pilihan raya kecil yang lalu, walaupun terdapat dakwaan berani bahawa mereka mendapat sokongan kaum India, MIPP kekal bergayut kepada dahan Bersatu," katanya.

Pemimpin Urimai itu juga mempersoalkan kerjasama MIPP dengan Bersatu, memandangkan parti itu tidak memberikan keahlian penuh kepada bukan Melayu, sebaliknya hanya memberikan status ahli bersekutu tanpa hak mengundi.

“Ini menimbulkan persoalan serius mengenai kebebasan MIPP dalam PN atau apakah ia relevan dalam politik nasional,” katanya.

Presiden MIPP P Punithan

Bagi Gerakan pula, Marshel berkata presidennya, Dominic Lau, hanya bernostalgia dengan zaman kegemilangan parti itu di Pulau Pinang, namun sejarah kegemilangan semata-mata tidak menjamin sokongan pada masa kini.

“Pengundi Cina telah lama meninggalkan Gerakan dan untuk mendapatkan semula sokongan mereka memerlukan keajaiban politik.

“MIPP pula, langsung tidak mempunyai warisan sejarah untuk bergantung, menjadikan dakwaan pemimpinnya, P Punithan, bahawa dia akan memimpin masyarakat India dalam pilihan raya negeri akan datang sebagai sesuatu yang kosong dan tidak berasas,” tambahnya.

Marshel mendakwa Urimai, yang dipimpin oleh bekas pemimpin DAP, P Ramasamy, memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mempengaruhi pengundi India semasa pilihan raya kecil Sungai Bakap baru-baru ini.

Menurutnya, peratusan keluar mengundi yang rendah dalam kalangan pengundi Cina pada masa itu bukan disebabkan oleh pengaruh Gerakan, tetapi lebih kepada rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Jika Gerakan dan MIPP bergelut untuk memberikan impak dalam pilihan raya kecil itu, atas dasar apa mereka mendakwa menjuarai masyarakat Cina dan India?

“Daripada sekadar berlagak untuk mendapatkan pengaruh di Pulau Pinang, kedua-dua parti itu sepatutnya mendesak kepimpinan PN untuk mengemukakan agenda yang jelas dan progresif bagi bukan Melayu.

“Tanpa perkara seperti ini, Gerakan dan MIPP akan terus kekal tidak relevan dalam politik, tanpa menawarkan sebarang nilai sebenar kepada komuniti yang mereka dakwa wakili,” tambahnya.

Ahad lalu, Presiden MIPP S P Punithan dilapor sebagai berkata pihaknya terbuka untuk berbincang mengenai langkah mengambil peranan kepimpinan di Pulau Pinang.

Ini susulan laporan FMT yang memetik sumber, yang mengakui PN bergelut untuk menawan pengundi Cina walaupun dengan sokongan Gerakan.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS