Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing, melahirkan rasa kecewa apabila banjir akibat hujan berterusan menjejaskan sambutan Tahun Baru Cina di kalangan penduduk di kawasan itu.
“Banyak rumah dihiasi dengan perhiasan merah untuk menceriakan dan meraikan pertemuan bersama keluarga.
“Namun, hujan lebat yang berterusan merosakkan rumah-rumah ini, menyebabkan kerugian kewangan yang besar dan memaksa keluarga-keluarga ini ditempatkan di pusat pemindahan sehingga banjir surut sebelum dapat kembali ke rumah yang telah musnah.
“Kita tidak boleh membiarkan rakyat Bintulu menderita kesusahan seperti ini lagi,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Tiong, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian berkata projek pendalaman dan pelebaran Sungai Sibiew dan Sungai Kemena perlu dimulakan tanpa bertangguh lagi bagi mengurangkan risiko banjir kilat.
Dia yang dirakam meredah banjir dengan memakai T-shirt, seluar pendek dan baju hujan berkata kelemahan infrastruktur turut menyumbang kepada banjir selain faktor semula jadi.
“Kita tidak boleh menafikan kemungkinan faktor manusia memperburukkan banjir. Isu-isu seperti kelemahan sistem saliran di Bintulu telah menghalang Sungai Sibiew daripada membuang air berlebihan dengan cekap, menyebabkan paras sungai naik dengan cepat.
“Arus deras menyukarkan lagi operasi menyelamat, meningkatkan risiko kepada mangsa dan penyelamat. Kawasan yang paling terjejas adalah sekitar Sungai Sibiew, yang projek pendalaman dan pelebaran sungainya sudah tertangguh sekian lama,” tambahnya.
Tiong menegaskan cadangan projek pendalaman sungai di Sungai Sibiew telah diutarakan hampir lima tahun, namun tiada sebarang perkembangan setakat ini.
“Banjir yang buruk ini seharusnya menjadi amaran yang mendesa di maan agensi-agensi yang berkaitan perlu bertanggungjawab.
“Saya telah berkali-kali menegaskan bahawa sungai tersebut perlu diperdalam sekurang-kurangnya tiga hingga lima meter dan dilebarkan hingga 100 meter untuk menampung hujan yang semakin meningkat akibat perubahan iklim.
“Hanya dengan cara ini kita dapat mencegah bencana seperti ini berulang,” tambahnya.
Selain itu, Tiong berkata Sungai Kemena juga perlu diperdalam kerana endapan menjadikan sungai itu semakin sukar dilalui bot.
Terdahulu Bernama melaporkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di Sarawak dan Sabah meningkat kepada 4,000 orang setakat 8 malam semalam, berbanding 1,250 orang pada pagi Rabu.
Di Sarawak, seramai 2,981 individu dari 862 keluarga ditempatkan di 36 PPS di seluruh negeri itu.