Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PKR: Di mana Hadi, Tuan Ibrahim ketika pemimpin PAS sebar fitnah?
Diterbitkan:  Jan 30, 2025 10:30 AM
Dikemaskini: 2:32 AM

Ahli Parlimen Sungai Petani, Mohammed Taufiq Johari secara sinis berkata dia berasa kagum dengan perkongsian timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai tuntutan memohon maaf dan memaafkan dalam Islam.

Bagaimanapun Mohammed Taufiq mempersoalkan sikap berdiam diri Tuan Ibrahim dan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang apabila pemimpin mereka terlibat dalam menyebarkan fitnah.

"Persoalannya di manakah presiden dan Timbalan Presiden PAS ketika pemimpin mereka menyebarkan fitnah?

"Di manakah ulama-ulama dalam PAS yang sepatutnya menegur? Jika mereka benar-benar berpegang pada ajaran Islam, mengapa mereka diam membisu apabila fitnah menjadi budaya dalam parti mereka?

Pada 27 Jan lalu, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria mengaku salah dan memohon maaf kerana mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai “anak YTL” apabila mengaitkan pemimpin DAP itu dengan tokoh korporat 'Yeoh Tiong Lay.

Kenyataan itu dibuat tidak lama selepas Ahli Parlimen Kepala Batas dari PAS, Siti Mastura Muhammad diarah membayar lebih RM830,000 kepada tiga pemimpin DAP kerana mendakwa mereka mempunyai pertalian dengan pemimpin komunis.

Pada 11 Disember lalu, Razman turut memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana mengaitkannya dengan insiden kibaran bendera China di Teluk Intan pada 24 Okt.

Semalam Tuan Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook berkata tindakan memohon maaf dan memaafkan adalah perbuatan terpuji dalam Islam.

"Memberikan kemaafan kepada orang yang memohon maaf serta mengakui kekhilafannya adalah sifat yang patut diamalkan seperti mana yang disaran oleh Allah dalam Al-Quran," kata Tuan Ibrahim.

PAS perlu bertaubat

Mengulas perkara itu, Mohammed Taufiq berkata PAS perlu bertaubat dan berhenti menjadikan fitnah sebagai alat politik.

“Jangan kita normalisasikan sikap hipokrit ini. Jangan beri muka kepada pemimpin PAS yang menjadikan fitnah sebagai alat politik hanya kerana mereka mendakwa perjuangan mereka atas nama Islam,” kata pemimpin PKR itu.

Tegasnya, Islam tidak menghalalkan fitnah dan pembohongan, walau dengan apa alasan sekalipun.

“Sudah tiba masanya PAS benar-benar bertaubat. Bukan hanya bercakap soal dosa dan pahala ketika ia menguntungkan mereka, tetapi mengamalkannya dalam kehidupan dan politik mereka sendiri,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS