Cadangan untuk menubuhkan dan melancarkan dana bagi pembangunan semula Gaza serta Palestin memerlukan penglibatan lebih banyak negara maju selain negara ASEAN serta kalangan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh berkata penglibatan negara maju penting kerana kos pembinaan semula Gaza yang hampir musnah akibat serangan kejam regim Zionis sejak Oktober 2023 dianggarkan mencecah trilion dolar.
"Saya berpendapat sebaiknya ada penglibatan kerjasama banyak negara atau blok negara termasuklah ASEAN dan negara organisasi Brazil, Rusia, India dan China (BRICS).
"Kesatuan Eropah misalnya telah mengumumkan pakej bantuan kemanusiaan untuk Gaza sebanyak 120 juta euro pada minggu lepas," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Malaysia dan Jepun telah mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula Gaza menerusi inisiatif Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah terkesan.
Selain itu, Perdana Menteri berkata Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin dengan menggembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta, perniagaan, korporat dan rakyat.
Syed Ibrahim yang juga Pengerusi Kaukus Parlimen Asia Tenggara untuk Pembebasan Palestin berkata semua pihak perlu menyokong usaha murni kerajaan itu supaya lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan di Gaza.
"Jika boleh jadikanlah sebagai program sokongan daripada seluruh rakyat, NGO dan swasta supaya lebih banyak kemudahan awam dapat dibangunkan selain projek pertanian dan pembangunan ekonomi," kata Ahli Parlimen Ledang itu.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) Dr Jamaie Hamil menyifatkan usaha Malaysia dan Jepun untuk menubuhkan dana khas adalah satu langkah yang dapat menyegerakan proses pembinaan kemudahan asas di Gaza bagi membantu rakyat Palestin.
"Perancangan awal seperti ini juga dapat diikuti kelak oleh negara-negara Timur Tengah bagi membantu rakyat Palestin yang terkesan," katanya.
Beliau berkata penubuhan dana khas itu jelas memperlihatkan kekuatan Malaysia di rantau Asia dan Timur Tengah selain komitmen serta usaha berterusan dalam memperjuangkan hak asasi kemanusiaan dan tentunya ia hasil hubungan baik Anwar bersama pemimpin lain di peringkat antarabangsa.
Senada dengan Jamaie ialah Penganalisis Politik Dr G Manimaran yang berkata kemampuan negara menggerakkan usaha mengumpul dana bagi tujuan pembinaan semula beberapa kemudahan asas di Gaza adalah hasil hubungan kerjasama serantau sedia ada yang baik.
Mengenai undangan Jepun untuk Malaysia menjadi pengerusi CEAPAD, Manimaran melihat ia sebagai suatu penghargaan dan pengiktirafan kepada negara ini atas peranan yang dimainkan dalam sebarang misi kemanusiaan.
"Ini satu lagi peluang untuk Malaysia menunjukkan kepada dunia bahawa negara boleh memainkan peranan yang konstruktif dalam usaha pembinaan semula Gaza. Ia sudah tentu akan beri impak dari segi imej, reputasi Malaysia sebagai sebuah negara yang selalu mengutamakan keamanan dan kedamaian dunia.
"Ini adalah peluang kita sebagai pengerusi ASEAN tahun ini untuk mengembangkan imej dan reputasi negara ke peringkat antarabangsa," katanya.
- Bernama