Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuduhan Khairy pada PTD tak berasas, kata persatuan

Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sentiasa memainkan peranan profesional, berasaskan data serta mengambil kira realiti operasi dalam merangka dan melaksanakan dasar termasuk sektor kesihatan, kata Presiden Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Datuk Awang Alik.

Justeru, beliau berkata tuduhan oleh bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang menyatakan bahawa PTD hanya ‘melihat pada helaian Excel’ tanpa memahami realiti hospital, adalah tidak berasas dan tidak menggambarkan proses sebenar penggubalan dasar kerajaan.

“Kejayaan sistem kesihatan awam Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa adalah hasil kerjasama erat antara golongan profesional kesihatan dan PTD dalam memastikan dasar diperkenalkan adalah seimbang dan mampan.

“Tuduhan bahawa PTD gagal memahami cabaran sektor kesihatan bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak mencerminkan realiti sebenar pentadbiran kerajaan,” katanya menerusi kenyataan, semalam.

Kelmarin, Khairy melalui audio siar 'Keluar Sekejap' mengaitkan kegagalan sistem Pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi petugas kesihatan dengan jurang pemahaman dalam kalangan birokrat di Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap realiti amalan perubatan.

Khairy dilaporkan mengkritik proses membuat keputusan, sambil menegaskan bahawa ia dilaksanakan oleh penjawat awam yang tidak mempunyai pemahaman praktikal mengenai operasi hospital.

Mengulas lanjut, Awang berkata pelaksanaan WBB bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui sesi libat urus yang menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pegawai perubatan, pentadbir hospital, dan kesatuan pekerja kesihatan.

Beliau berkata pelaksanaan dasar itu turut dipandu oleh kajian mendalam serta amalan terbaik antarabangsa yang mengambil kira kesejahteraan pegawai perubatan tanpa menjejaskan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

“Sebagai penjawat awam yang terlatih dalam pembangunan dasar, PTD bertanggungjawab untuk memastikan keputusan dibuat berasaskan bukti dan kajian menyeluruh.

“Hakikatnya, setiap pelaksanaan dasar baharu pasti menghadapi cabaran serta ruang penambahbaikan, tetapi adalah tidak adil untuk menuding jari kepada PTD semata-mata tanpa melihat keseluruhan proses dan faktor yang mempengaruhi pelaksanaan sesuatu dasar,” katanya.

Menurut Awang, KKM sebelum ini memaklumkan WBB merupakan dasar yang dirangka oleh doktor untuk doktor, dan bukannya ditentukan secara unilateral oleh PTD di Putrajaya.

Sehubungan itu, beliau berkata dakwaan yang menyatakan PTD tidak memahami realiti sektor kesihatan adalah tidak tepat, sebaliknya, peranan PTD adalah untuk memastikan dasar tersebut dapat dilaksanakan dengan baik dalam kerangka pentadbiran negara lebih luas.

“Sebagai kesimpulan, PPTD menggesa semua pihak untuk lebih memahami proses perumusan dasar sebelum membuat kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.

“Kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk pegawai perubatan dan PTD adalah kunci dalam memastikan sebarang dasar yang diperkenalkan benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan awam negara,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS