Mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Fatimah Dawi, 71, ditemukan pada 6.06 petang oleh petugas penyelamat, kata Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu.
Beliau yang merupakan komander operasi menyelamat berkata mayat wanita warga emas itu berjaya dikeluarkan dari lokasi kejadian pada 6.26 petang.
“Mayat dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Alexson berkata sebanyak 12 individu terlibat dalam kejadian yang berlaku kira-kira 3 pagi tadi dengan membabitkan dua rumah yang terletak bersebelah di atas satu lot tanah yang sama.
Dengan penemuan itu, katanya operasi menyelamat tamat sepenuhnya.
Pasukan penyelamat menemukan mayat pertama seorang remaja lelaki berusia 17 tahun pada 6.17 pagi tadi diikuti seorang wanita pada 10.53 pagi.
Mayat dua kanak-kanak perempuan kemudian ditemukan masing-masing pada 11.38 pagi dan 10.48 pagi.
Tujuh individu berusia lingkungan 14 hingga 60 tahun terdiri daripada dua lelaki dan bakinya wanita dari kedua-dua rumah terbabit terselamat dalam kejadian itu.
Operasi menyelamat dalam keadaan hujan lebat itu membabitkan 19 pegawai dan 85 anggota daripada pelbagai agensi dan jabatan dengan dibantu penggunaan sebuah jengkaut.
- Bernama