Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan sukar tawan P Pinang kerana pengundi Cina sokong DAP - MIPP
Diterbitkan:  Jan 29, 2025 5:53 PM
Dikemaskini: 9:53 AM

Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) berkata sukar bagi Gerakan untuk menawan Pulau Pinang kerana DAP menerima sokongan kuat masyarakat Cina di sana.

Presiden MIPP S. P. Punithan dalam satu kenyataan berkata meski Gerakan pernah mentadbir negeri itu, strategi yang lebih berkesan adalah untuk menarik pengundi Melayu dan India tanpa menolak sokongan Cina.

“Kami tidak merendahkan Gerakan atau memandang rendah kepimpinan Gerakan tetapi (dengan) situasi sekarang tidak mungkin untuk Gerakan menawan Pulau Pinang kerana sokongan kuat Cina (untuk) DAP.

"Saya harap Gerakan memahami perkara ini dan terbuka untuk perbincangan. Saya tidak memaksa Gerakan menyerahkan, ia adalah satu strategi yang mungkin. Mari berbincang dan mencari penyelesaian secara baik untuk menang," katanya.

Dia menambah bahawa matlamat MIPP adalah untuk memenangi Pulau Pinang untuk PN.

Awal hari ini, Free Malaysia Today (FMT) melaporkan Presiden Gerakan Dominic Lau menolak cadangan supaya MIPP menerajui Perikatan Nasional (PN) di Pulau Pinang.

Lau mempersoalkan asas untuk MIPP memimpin, sambil berkata Gerakan telah memegang jawatan ketua menteri di sana selama 39 tahun.

Pada Ahad (26 Jan), Punithan berkata pihaknya terbuka untuk perbincangan mengenai mengambil peranan kepimpinan di Pulau Pinang.

Ini susulan laporan FMT yang memetik sumber, yang mengakui PN bergelut untuk menawan pengundi Cina walaupun dengan sokongan Gerakan.

Tetapi pada Isnin (27 Jan), Naib Ketua Sayap Bersekutu Bersatu R Sanjeevan memberitahu MIPP bahawa pemimpin PN akan membuat keputusan muktamad mengenai perkara itu.

Kepimpinan MIPP hanyalah cadangan semata-mata, katanya.

Sementara itu, Punithan berkata, etnik India mempunyai sejarah yang kukuh di Pulau Pinang.

“Anda tidak boleh menulis sejarah India Malaysia tanpa negeri Pulau Pinang.

"MIPP sebagai parti berasaskan India percaya kita harus kembali kepada sejarah kita dan membentangkan strategi yang mungkin untuk memenangi Pulau Pinang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS