Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hantaran FB kontroversi bukan pendirian MCA - Wee
Diterbitkan:  Jan 29, 2025 5:20 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Presiden MCA Wee Ka Siong hari ini berkata hantaran Facebook kontroversi baru-baru ini tidak mewakili pendirian partinya.

Jelasnya, dia telah meminta MCA Johor meneliti insiden itu dan memastikan ia tidak berulang.

Jelasnya, catatan itu disiarkan di tempat lain sebelum dimuat naik di laman Facebook MCA Johor oleh seorang ahli bersara.

"Kita (MCA) tidak sepatutnya berkongsi (siaran itu) jika ia bukan daripada kita. Walaupun kita ingin berkongsi apa-apa, presiden akan menyampaikannya kepada media atau ahli parti.

“Bagaimanapun, jika anda sudah biasa dengan cara saya, saya tidak akan mengeluarkan sebarang kritikan beberapa hari sebelum sebarang perayaan,” katanya seperti dipetik The Star.

Catatan yang dimuat naik semalam itu mengkritik kerajaan dalam perbandingan peruntukan persekutuan untuk perkara berkaitan Islam dengan kekurangan tol percuma untuk Tahun Baru Cina.

Catatan itu mendapat kritikan daripada Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh, yang menuntut permohonan maaf dalam tempoh 24 jam - jika gagal, dia akan membuat laporan polis.

Catatan itu telah dipadam.

MCA Johor juga sudah memohon maaf atas insiden itu, berkata ia dilakukan "secara tidak sengaja" oleh pentadbir laman Facebook yang telah lama bersara.

Sementara itu, Wee berkata tindakan pantas diambil selepas ahli parti memaklumkannya mengenai isu itu.

“Sekali lagi pihak berkenaan memohon maaf atas kesilapan tersebut. Melangkah ke hadapan, hanya ketua pentadbir MCA Johor akan menjadi pentadbir laman Facebook. Tiada orang lain boleh buat hantaran,” katanya.

Tambah Wee, MCA menekankan semangat muhibah.

“MCA adalah parti yang pragmatik dan kami tahu cara untuk memastikan keharmonian kaum,” katanya.

Katanya lagi, MCA enggan mempunyai pandangan orang lain mewarnai pendirian parti itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS