Tiada unsur jenayah dalam kes kematian seorang warga asing susulan dilanggar kereta api di Stesen Komuter Klang, Jalan Besar, Taman Sri Istana di Shah Alam pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata mayat lelaki berusia 45 tahun itu telah selesai menjalani bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang pagi semalam.
“Punca kematian adalah kerana kecederaan akibat dilanggar kereta api dan tiada sebarang unsur jenayah. Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan mati mengejut untuk siasatan lanjut,” kata Cha menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Cha memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada pengadu yang memandu kereta api tersebut mengatakan seorang lelaki telah dilanggar di Stesen Komuter Klang di Jalan Besar di Shah Alam pada 7.22 pagi.
Katanya, siasatan mendapati pada 6.38 pagi semasa pengadu memandu keretapi dari arah Pelabuhan Klang ke Tanjung Malim, tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat seperti terlanggar sesuatu apabila sampai di Kilometer (KM) 34.734.
“Seterusnya, berlaku kebocoran gas pada sistem kereta api yang menyebabkan ia berhenti dan tidak dapat meneruskan perjalanan. Apabila pemeriksaan dilakukan, pengadu menjumpai mayat seorang lelaki di bawah gerabak keempat dan terus menghubungi pihak polis untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya.
Cha berkata hasil siasatan mendapat si mati dijumpai dalam keadaan berpakaian lengkap dan kaki kanannya terputus.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan seorang maut manakala empat lagi cedera ringan selepas menceroboh landasan pihaknya di laluan antara Teluk Pulai dan Klang semalam.
Susulan itu, operasi KTM Komuter mengalami kelewatan lebih sejam pagi semalam selepas tren terlanggar lima lelaki yang menceroboh landasan di KM 34.734 antara Teluk Pulai dan Klang.
- Bernama