Pengerusi PH Perak, Mujahid Yusof Rawa menasihatkan penyokong PAS supaya tidak termakan fitnah Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang menggunakan sentimen jahat agama dan perkauman untuk mendapatkan laba politik.
Menurutnya, Razman menjadikan isu kerajaan perpaduan Perak yang telah dibentuk sejak tiga tahun lalu untuk menanam kebencian dengan melabelkan Kerajaan Perpaduan hari ini dikuasai "bangsa DAP".
Jelasnya, Razman juga berbohong kepada pengikut PAS mengenai pendirian Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berhubung isu penjualan arak secara terbuka di negeri itu.
"Beliau yang juga dikenali sebagai Pak Teh telah mendustakan penyokong PAS dan pengundinya tentang penjualan arak terbuka seolah kerajaan hari ini merelakannya.
"Walhal YAB MB menegaskan supaya kajian lanjut dibuat tentang kesan jualan arak terbuka di premis majlis daerah tempatan masing-masing khususnya di bawah seliaan MBI. Di mana keputusan jualan arak terbuka ditentukan oleh DAP?
"Saya sarankan kepada pengikut dan pengundi PAS janganlah termakan fitnah keji ini kerana Pak Teh hanya menggunakan sentimen jahat perkauman dan agama untuk mendapat laba politik dengan menipu pengundi dan pengikut PAS,' kata Mujahid.
Mujahid yang juga naib presiden Amanah berkata, Razman sebelum ini turut mempunyai rekod sering berbohong dan kemudian meminta maaf.
"Rugilah pengundi PAS di Perak mendukung pembohongan, penipuan dan fitnah sehingga menggugat kestabilan yang dibina selama ini untuk kebajikan dan kesejahteraan orang Perak," katanya.
Razman baru-baru sekali lagi menjadi tajuk berita apabila dalam satu ucapannya mendakwa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sebagai "anak YTL".
Bagaimanapun pemimpin PAS itu memohon maaf kepada Yeoh dan YTL berhubung tuduhan itu, sebaliknya menyalahkan media kerana hanya memetik seminit daripada video ucapannya yang lebih panjang.
Yeoh kemudian berkata Razman akan tetap menerima surat daripada peguamnya berikutan ada lagi fitnah lain yang dibuat dalam rakaman video itu.
Pada 11 Disember lalu, Razman memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana mengaitkannya dengan insiden kibaran bendera China di Teluk Intan pada 24 Okt.
Kenyataan kontroversi terbaru daripada Razman dibuat tidak lama selepas Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad, juga daripada PAS, membayar lebih RM830,000 kepada tiga pemimpin DAP setelah kalah saman.
Sementara itu Mujahid berkata Adun PAS di Perak tidak berfungsi sebagai wakil rakyat melainkan bermain politik persepsi agama dan kaum serta menyokong fitnah kepimpinan PAS.
"Saya selaku Pengerusi PH menyeru rakyat Perak menolak kerusi-kerusi PAS yang dimenanginya dan memberikan peluang kepada calon Melayu PH dan BN untuk mengukuhkan lagi kestabilan yang dinikmati," katanya.