Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menyiasat dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata setakat ini tiada siasatan dibuka berhubung dakwaan itu.
"Kita bersedia menyiasat sekiranya dapatan siasatan dalaman DBKL menunjukkan ada unsur-unsur rasuah dan salah guna kuasa,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Semalam, New Straits Times melaporkan Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif mengesahkan siasatan dalaman sedang dijalankan susulan dakwaan tular mengenai salah laku ahli lembaga penasihat DBKL di media sosial.
Isu itu berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak dilakukan melalui proses tender terbuka.
Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat DBKL itu didakwa memegang jawatan dalam syarikat yang sama yang sepatutnya menjalankan projek berkenaan.
"Kami memandang serius dakwaan ini dan telah mengarahkan unit integriti untuk menyiasat dakwaan pemerolehan yang tidak wajar," kata Maimunah kepada NST.
Menurutnya, Unit integriti DBKL sedang mendapatkan bukti untuk menentukan sama ada proses tadbir urus dipatuhi.
Sementara itu NST melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa telah mengarahkan Maimunah dan pengerusi jawatankuasa eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan untuk mempercepatkan siasatan.
"Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran tadbir urus, tindakan tegas akan diambil. Saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku terutama yang melibatkan Wilayah Persekutuan," kata Zaliha.
Maimunah turut mengesahkan dia telah menghentikan satu lagi projek membabitkan RM7 juta kerana dikaitkan dengan ahli lembaga penasihat yang sama.