Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria membuat laporan polis terhadap akaun Facebook Harakat Daily HD yang didakwa memuatnaik berita palsu yang dikaitkan dengannya.
Ia berhubung ‘laporan’ laman pardoi itu yang dia mempertahankan dakwaan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh adalah "anak YTL".
Razman berkata, laporan polis dibuat kerana dia “tidak mahu budaya menipu dan membohongi rakyat menjadi ikutan budaya rakyat Malaysia”.
Laman sosial troll berkenaan baru-baru ini memuat naik hantaran berbunyi: "Razman pertahan tuduhan Hannah Yeoh anak tauke cina YTL"
Laman parodi itu dipetik melaporkan: "Saya dah periksa akaun derma bank PAS, banyak lagi peruntukan untuk bayar saman", ujarnya gembira.
Razman berkata, dia membuat laporan itu bagi mengelak akaun media sosial yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu.
Justeru dia memohon pihak polis menyiasat pemilik akaun Facebook tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.
"Saya juga telah melaporkan perkara ini kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“(Saya) mahukan SKMM dan kementerian komunikasi lebih berkesan mengawal berita palsu dan tidak membuat tindakan terpilih," tambahnya lagi.
Razman sebelum ini memohon maaf berhubung tuduhan bahawa Yeoh merupakan anak kepada pengasas YTL Corporation Berhad, Yeoh Tiong Lay.
Ini selepas pemimpin DAP itu mengancam untuk memfailkan saman terhadapnya.
Semalam, Yeoh mengingatkan Razman agar "menunggu surat daripada peguamnya" selepas pemimpin PAS itu mengaku membuat kenyataan yang salah mengenainya.
“Fitnah tidak boleh dibenarkan dan dinormalisasi, terutamanya oleh orang yang beragama,” kata ahli parlimen Segambut itu.
Pada Disember lalu, Razman memohon maaf kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming selepas mengaitkannya dengan satu perarakan di Teluk Intan.
Perarakan itu menyaksikan sekumpulan warga China mengibarkan bendera negara mereka sehingga mencetuskan kontroversi.