Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPJ Terengganu keluar 1,968 saman menerusi Op TBC 2025

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan 1,968 saman dalam tempoh lapan hari pelaksanaan Op Khas Tahun Baru Cina (Op Khas TBC) 2025 yang bermula pada 20 Jan lepas.

Pengarah JPJ Terengganu Zamri Samion berkata saman itu hasil pemeriksaan terhadap 19,597 kenderaan termasuk motosikal, kereta, lori, bas dan lain-lain kenderaan persendirian.

Beliau berkata selain itu, sebanyak 1,833 notis juga dikeluarkan terhadap pemandu yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan dalam Op Khas TBC kali ini.

"Antara kesalahan paling banyak dikesan ialah gagal mematuhi lampu isyarat merah, tidak memakai topi keledar, memotong di garisan berkembar dan tidak memakai tali pinggang keledar.

"Hasil pemeriksaan kita juga telah menyita sebanyak 37 kenderaan termasuk 30 motosikal, empat kereta dan tiga lori," katanya selepas melakukan pemeriksaan bas ekspres di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) malam tadi.

Zamri berkata pihaknya juga telah menugaskan 16 anggota untuk melakukan kerja penyamaran bagi mengawasi pemandu dan memantau pergerakan bas ekspres sepanjang Op Khas TBC 2025.

Beliau berkata ia melibatkan perjalanan pergi dan balik ke tiga destinasi iaitu Kota Bharu, Kuantan dan Kuala Lumpur.

"Bagi memastikan bas berada dalam keadaan selamat, JPJ Terengganu telah mengambil langkah awal dengan menjalankan pemeriksaan di tujuh depoh seluruh negeri bermula 13 hingga 19 Jan.

"Sementara itu, dalam tempoh Op TBC 2025 sebanyak 165 bas telah diperiksa. Sejumlah 31 pemandu bas juga diarah menjalani pemeriksaan air kencing dan semua menunjukkan keputusan negatif," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS