Sempena Tahun Baru Cina, Pemuda PAS menyiarkan mesej dalam bahasa Cina di laman Facebook rasmi mereka bagi menyeru persefahaman dan toleransi antara kaum.
Dalam keadaan ketegangan kaum dan agama terus menjadi tajuk utama, sayap pemuda parti itu menegaskan kepelbagaian harus diraikan dan bukannya jadi punca perpecahan.
“Kepelbagaian etnik tidak bermakna kita harus bermusuhan, salah faham, atau bersengketa. Sebaliknya, kepelbagaian membolehkan kita belajar dan memahami perbezaan antara satu sama lain.
“Jika kita dapat bersatu dalam kepelbagaian ini, pasti kita mampu membina semangat setiakawan yang kukuh dalam negara,” kata Pemuda PAS dalam perutusan sempena Tahun Baru Cina.
Semalam, PAS menggesa semua pihak agar mengamalkan sikap saling menghormati dengan menegaskan bahawa ia adalah asas kepada keharmonian Malaysia dan kunci utama dalam mengelakkan kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Dalam perutusan Tahun Baru Cina parti itu, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata beberapa isu kontroversi melibatkan agama Islam boleh dielakkan sekiranya semua pihak menghormati sensitiviti masing-masing.
Katanya kegagalan berbuat demikian hanya akan mengundang respons yang sama buruknya daripada kelompok yang terkesan.
“Secara khusus, beberapa isu dan kontroversi melibatkan ajaran serta hukum-hakam Islam dan keperluan diet umat Islam misalnya boleh dielakkan sekiranya semua pihak saling menghormati dan memahami batas-batas serta sensiviti setiap kumpulan dalam masyarakat.
"Sikap mengambil mudah, sewenang-wenang, apatah lagi meremehkan kepentingan serta sudut pandang sah orang lain adalah berlawanan sama sekali dengan identiti saling menghormati Malaysia dan tidak boleh dipertahankan," kata Takiyuddin.
Meskipun tidak merujuk kepada sebarang kontroversi secara khusus, Takiyuddin dipercayai merujuk kepada insiden berkaitan sandwic “ham” baru-baru ini.
Dalam ucapannya, Takiyuddin berkata sikap saling menghormati harus menjadi identiti teras rakyat Malaysia setelah melalui kehidupan bersama sejak sekian lama.
"Dengan kata lain, sikap saling menghormati dan saling memahami bukanlah sekadar nilai atau idealisme yang dirujuk pada masa-masa tertentu, tetapi merupakan cara hidup dan cara berfikir Malaysia yang menjadi amalan pada setiap masa.
"Atas kesedaran dan harapan itu, PAS mengalu-alukan dialog yang berterusan bagi mengatasi salah faham atau kecenderungan dan tindak-tanduk yang kelihatan gagal menjunjung tonggak teras masyarakat Malaysia itu dalam konteks hubungan antara rakyat yang berlainan anutan dan kepercayaan, sekali gus mendedahkan semua kepada konflik dan ketegangan yang tidak perlu mahupun produktif,' katanya.