Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang bekas pengarah agensi kerajaan di negeri ini, kelmarin, berhubung dakwaan meminta dan menerima suapan berjumlah kira-kira RM110,000.
Lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira 2.30 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu.
Menurut sumber, lelaki itu dipercayai melakukan perbuatan itu pada tahun lepas dengan meminta rasuah daripada beberapa syarikat yang mendapat projek pembekalan dengan jabatan tempat beliau bertugas.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu pada awal tahun lepas dan turut meminta rasuah untuk pegawai-pegawai di bawah seliaannya.
“Suspek juga disyaki menerima suapan dalam bentuk barangan seperti mesin basuh, komputer riba, tablet, telefon pintar, gitar elektrik, peralatan gim, aksesori kereta dan pembayaran untuk pembelian motosikal,” menurut sumber itu.
Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau berkata suspek akan dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan diambil dan pihaknya telah menyita semua barangan terlibat dalam kes berkenaan.
- Bernama