Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mixue tegaskan status halal, mohon maaf isu beg sampah
Diterbitkan:  Jan 28, 2025 6:07 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Mixue Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan kepada pelanggannya tentang status halalnya, menekankan pematuhannya terhadap piawaian halal dan memohon maaf atas penggunaan sejenis beg sampah oleh sebuah kedai.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook, rangkaian minuman itu berkata beg itu dilabel dengan perkataan yang "boleh menimbulkan kebimbangan".

"Walaupun beg itu hanya digunakan untuk pelupusan sampah dan tidak terlibat dalam penyediaan makanan, kami memandang serius isu ini," katanya sambil menambah ia dibeli daripada platform dalam talian.

Menurut semakan oleh Malaysiakini, butiran mengenai insiden yang menyebabkan kenyataan Mixue tidak jelas dan lokasi kedai itu tidak diketahui.

Perkembangan ini hadir selepas kontroversi baru-baru ini yang memaparkan sandwic "ham" dan keju - yang dilabel halal - dijual di cawangan KK Mart di Universiti Malaya, yang membawa kepada kekecohan termasuk daripada Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.

Sandwic itu dihasilkan oleh Shake and Bake Cafe Sdn Bhd, yang menggunakan ham ayam yang disahkan halal untuk membuat sandwic.

Bagaimanapun, syarikat itu tidak mempunyai sijil untuk meletakkan logo halal pada bungkusan sandwic.

Mixue berkata ia telah mengambil langkah proaktif, seperti meminta pelaksanaan proses "sertu" di cawangan yang terjejas, untuk memastikan ia mematuhi piawaian halal.

Syarikat itu juga menghentikan penggunaan beg tersebut dan sedang menyemak prosedur perolehannya untuk mengelakkan perkara sama berulang.

“Mixue Malaysia ingin menekankan bahawa semua bahan mentah yang digunakan dalam produk kami adalah daripada sumber halal dan memiliki pensijilan halal yang sah.

"Kami tetap komited untuk memastikan kebersihan, kualiti dan pematuhan halal di semua cawangan kami," tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS