Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Putra saran Mat Sabu 'demo' dengan Pesawah jika isu tak selesaii
Diterbitkan:  Jan 28, 2025 5:39 PM
Dikemaskini: 9:39 AM

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Mohamad Sabu secara sinis digesa menganjurkan himpunan tunjuk perasaan sekiranya dia gagal menangani isu ketiadaan beras tempatan dan kenaikan harga lantai padi.

Naib Presiden Putra, Asmawa Samat, berkata jika Mohamad selaku menteri gagal menyelesaikan isu harga lantai padi seperti tuntutan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), parti itu mencadangkan agar dia mengadakan demonstrasi.

Katanya dalam protes itu nanti Mohamad - yang pernah dikenali ramai atas pembabitannya dalam demonstrasi awam - boleh menunjuk perasaan bersama pesawah lain.

"Semoga Mat Sabu (Mohamad) tidak keberatan bersama pesawah berdemo.

"Jika tidak, dia hanya makan gaji buta kerana gagal menyelesaikan isu dan patut letak jawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Asmawa mengulas tindakan Pesawah yang ke Putrajaya pagi semalam untuk mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap isu harga lantai padi yang dianggap tidak relevan; dan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman yang didakwa membebankan petani kecil.

Pengerusi Pesawah, Abdul Rashid Yob, berkata kos yang meningkat untuk diesel dan benih padi menyebabkan harga lantai semasa tidak lagi mencukupi untuk menampung kehidupan penanam padi.

Dia turut menyatakan kebimbangan mengenai RUU Kualiti Benih Tanaman yang dikatakan digubal tanpa perundingan bersama pesawah.

Mereka juga menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri untuk meminta Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam isu ini.

Sebagai reaksi segera, Mohamad berikrar akan mengambil tanggungjawab terhadap desakan tersebut dan berjanji melibatkan diri secara langsung dengan isu-isu lain yang melibatkan komuniti berkenaan.

Untuk rekod, pada Ahad lalu, Putra juga mengadakan satu perhimpunan di Cyberjaya untuk membantah cadangan realisasi (penghapusan) subsidi pukal dan mempersoal keputusan KPKM menurunkan harga lantai padi tanpa berbincang dengan pesawah.

"Putra berpandangan, keputusan kerajaan agar tidak menaikkan harga siling padi lebih daripada RM1,300 setiap tan adalah tidak munasabah dan menekan pesawah yang berdepan dengan kenaikan kos diesel dan baja tanpa subsidi.

"Kami juga menganggap harga siling baru padi RM1,800 per tan sepertimana dituntut oleh pihak Pesawah adalah munasabah demi mengekalkan petani padi terus setia menanam padi.

"Jika tidak, negara terpaksa mengimport beras 100 peratus dari luar negara," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS