Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perak benarkan MBI terus kaji peraturan kawalan jualan arak
Diterbitkan:  Jan 28, 2025 4:19 PM
Dikemaskini: 8:19 AM

Kerajaan Perak hari ini memberi 'restu' kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan kajian terhadap peraturan penjualan minuman keras dalam kawasan pentadbirannya berdasarkan peraturan sedia ada.

Menteri Besar, Saarani Mohamad, berkata kerajaan negeri memang mengambil berat polemik yang muncul ekoran cadangan dibbuat MBI meluaskan larangan penjualan minuman keras di dalam kawasan majoriti penduduk Islam seperti yang sudah dilaksanakan di Gugusan Manjoi.

Katanya, berdasarkan maklum balas daripada MBI, kerajaan negeri diberitahu bahawa cadangan tersebut berada di peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur sepatutnya sebelum dikemukakan kepada pihak berkuasa negeri.

"Dalam hubungan ini, kerajaan negeri tiada halangan untuk MBI meneruskan kajian tersebut mengikut bidang kuasa MBI yang diperuntukkan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan, Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Bandaraya Ipoh) 2017 selain pematuhan peraturan minuman beralkohol/peraturan-peraturan makanan 1985 dan Akta Makanan 1983," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin, dilaporkan berkata MBI bersetuju membuat kajian terhadap tuntutan penduduk beragama Islam yang meminta agar larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan di kawasan tertentu.

Katannya kawalan seumpama itu sudah dilaksanakan di kawasan Gugusan Manjoi dan kini ada permintaan agar ia diperluaskan ke Ulu Chepor yang penduduknya 100 peratus Muslim.

Namun ia mengundang reaksi MCA negeri yang mengecam kerajaan negeri - khususnya DAP - dan mempertikaikan sikap mereka yang dianggap sebagai "menipu rakyat."

Chung Kok Heung

“Adakah ini kejahilan atau cubaan menyembunyikan isu yang disengajakan untuk memperbodohkan orang ramai?" kata Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung.

Kelmarin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dilaporkan memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tidak akan ada perubahan kepada peraturan sedia ada berhubung penjualan alkohol.

Bercakap kepada media di Ipoh, Nga mengesahkan peraturan semasa akan kekal dan menolak sebarang kebimbangan mengenai perkara itu.

"Jika anda tidak dibenarkan minum, jangan beli, dan tiada siapa akan menghalang anda.

"Tetapi, anda tidak boleh menghalang orang lain daripada membeli (minuman keras)," katanya dipetik oleh New Straits Times.

Tak patut timbul perbalahan

PAS Perak pula semalam mendesak Saarani bersuara dalam isu berkenaan dan berjanji menyokong kerajaan negeri serta MBI dalam usaha mengawal penjualan minuman keras di negeri tersebut.

“PAS Perak akan bersama menteri besar jika beliau menyokong dan mempertahankan Datuk Bandar Ipoh dalam isu tersebut,” kata pesuruhjayanya, Razman Zakaria.

Menurut Saarani kajian yang akan dilakukan MBI itu akan mengambil kira pelbagai aspek termasuk data demografi serta meneliti secara terperinci penetapan zon bagi pelaksanaan cadangan tersebut berdasarkan kelas guna tanah yang digariskan dalam Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh (RTBI) 2035.

Katanya MBI perlu melakukan kajian menyeluruh supaya cadangan berkenaan tidak hanya tertumpu kepada usaha memelihara kemaslahatan umat Islam, bahkan turut mengambil kira keperluan mewujudkan peraturan yang boleh menjamin kerukunan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

"Kerajaan negeri menegaskan, sebarang ketetapan yang dibuat hendaklah bersifat inklusif dengan mengambil kira maklum balas masyarakat, mencerminkan kehendak sebenar penduduk setempat dan selari dengan panduan undang-undang yang sedia ada," katanya.

Disebabkan cadangan berkenaan masih di peringkat kajian, tambah Saarani, sepatutnya tidak timbul sebarang perbalahan atau pertikaian kerana hanya akan mengelirukan orang ramai.

"Sebaliknya semua pihak patut memberi ruang sepenuhnya kepada MBI untuk memperhalusi segenap aspek cadangan berkenaan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS