Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda MCA gesa tindakan diambil pada pentadbir akaun FB MCA Johor

NOTA EDITOR: Versi awal artikel ini telah dipinda untuk mencerminkan kenyataan terbaru Neow Choo Seong. Ketua Penerangan Pemuda MCA itu sebelum ini mendakwa akaun Facebook MCA Johor digodam apabila memuat naik satu siaran kontroversi, tetapi sejak itu telah menarik dakwaan itu berikutan penjelasan MCA Johor.


Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong menggesa MCA Johor mengambil tindakan terhadap seorang bekas kakitangan kerana memuat naik kenyataan kontroversi di akaun Facebooknya.

Kenyataan dalam bahasa Mandarin, yang telah dikeluarkan dari Facebook MCA Johor itu, telah mengundang kritikan kerana didakwa anti-Islam.

"Menurut penjelasan MCA Johor, didapati bahawa halaman itu telah diakses oleh bekas pentadbir (admin).

"Saya juga menggesa MCA Johor mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bertanggungjawab mencemarkan nama parti," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Neow dalam perbualan telefon dengan Malaysiakini menafikan bahawa MCA pernah membuat catatan Facebook sedemikian dan mendakwa bahawa akaun Facebook MCA Johor telah digodam.

Dia kemudian menjelaskan bahawa MCA Johor mengesahkan bahawa catatan kontroversi itu dimuat naik oleh bekas pentadbir akaun media sosialnya yang telah lama bersara dari pejabat itu.

Terdahulu, MCA Johor telah memohon maaf atas perkara itu, mengaitkannya dengan tindakan "tidak disengajakan" bekas kakitangannya.

Mereka mengesahkan bahawa pentadbir itu telah dialih keluar daripada mengakses halaman berkenaan, yang kini hanya diuruskan oleh pentadbir baru.

Mengulas lanjut, Neow mengulangi bahawa MCA, sebagai parti sederhana, tidak akan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Kami memahami sensitiviti dan tidak pernah mengeluarkan kenyataan tidak sensitif seperti itu.

"Jadi, kita melihat ini sebagai sesuatu yang serius. Tindakan perlu diambil untuk membersihkan nama baik MCA," katanya.

Terdahulu hari ini, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, mengecam kejadian tersebut dan menuntut permohonan maaf dalam tempoh 24 jam.

Dia memberi amaran, Pemuda Umno akan lapor polis jika MCA gagal mematuhi tuntutan itu.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS