Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hentikan sikap remehkan keperluan orang lain, kata PAS
Diterbitkan:  Jan 28, 2025 2:31 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

Sikap mengambil mudah dan meremehkan kepentingan orang lain adalah bercanggah dengan identiti budaya rakyat Malaysia dan ia tidak boleh dipertahankan, kata PAS.

Dalam kenyataan sempena sambutan Tahun Baru Cina kali ini, PAS berkata kontroversi melibatkan ajaran dan hukum Islam sepatutnya boleh dielakkan jika semua pihak menghormati antara satu sama lain, serta memahami batas sensitiviti setiap segmen masyarakat.

"Ia seharusnya dihentikan dengan tegas dan segera kerana kegagalan berbuat demikian - baik atas kepentingan politik, perniagaan, oportunisme atau pertimbangan lain - hanya akan mengundang respons yang sama buruknya daripada kelompok yang terkesan," kata Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Sebagai negara yang bersifat rencam, kata Takiyuddin, sikap saling menghormati, menghargai dan memahami perlu dipertahankan sebagai keperluan asasi bagi memastikan kehidupan bersama menjadi munasabah, produktif dan bermanfaat.

Lebih daripada itu, tambahnya, ia harus menjadi identiti teras dan aset eksklusif rakyat Malaysia setelah melalui kehidupan bersama sejak sekian lama.

Malah bagi kebanyakan rakyat negara ini, kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu lagi, kehidupan sebegitu adalah satu-satunya realiti yang dilalui dari zaman kanak-kanak lagi dan seharusnya turut menjadi satu-satunya jati diri yang dikenali dan dihayati sebagai ciri khas kebangsaan Malaysia.

"Dengan kata lain, sikap saling menghormati dan saling memahami bukanlah sekadar nilai atau idealisme yang dirujuk pada masa-masa tertentu, tetapi merupakan cara hidup dan cara berfikir Malaysia yang menjadi amalan pada setiap masa," katanya.

Kenyataan itu menyusul selepas beberapa kontroversi melibatkan penganut Islam melatari perkembangan negara sejak akhir-akhir ini.

Misalnya penjualan sandwic ham yang tidak memiliki sijil halal yang sah di Kuala Lumpur - yang melarat kepada komen yang menyinggung di media sosial - serta peraturan kawalan penjualan arak di Ipoh, Perak.

Takiyuddin berkata sambutan Tahun Baru Cina dan perayaan lain masyarakat negara menjadi lambang keharmonian dan kerukunan masyarakat yang hidup dalam realiti kepelbagaian budaya, anutan dan latar belakang kepercayaan.

"Atas kesedaran dan harapan itu, PAS mengalu-alukan dialog yang berterusan bagi mengatasi salah faham atau kecenderungan dan tindak-tanduk yang kelihatan gagal menjunjung tunggak teras masyarakat Malaysia dalam konteks hubungan antara rakyat yang berlainan anutan dan kepercayaan, sekali gus mendedahkan semua kepada konflik dan ketegangan yang tidak perlu mahupun produktif," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS