mk-logo
Berita
FB pertikai peruntukan agama: MCA Johor mohon maaf 
Diterbitkan:  Jan 28, 2025 1:55 PM
Dikemaskini: 6:55 AM

MCA Johor memohon maaf susulan penyiaran status Facebook yang mempertikai peruntukan berkaitan Islam dan bantuan Malaysia kepada rakyat Palestin.

Mereka menjelaskan bahawa status itu dinaikkan tanpa sengaja oleh seorang pentadbir Facebook tanpa memaklumkan kepada pemimpin utama negeri.

Malah, kata MCA Johor, ia juga tulisan pihak lain.

“Sekali lagi, MCA Johor memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia di atas apa yang berlaku. 

“MCA Johor akan lebih berhati-hati dan memastikan kejadian sama tidak berulang lagi,” kata MCA Johor.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menyelar kenyataan MCA Johor yang dianggap cuba mencetuskan kemarahan rakyat.

Akmal menyoal tindakan MCA Johor yang mempertikaikan bajet untuk pembangunan al-Quran dan bantuan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) sambil mengaitkannya dengan bantuan tol sempena Tahun Baru Cina.

"Seolah-olah perkara yang dilaksanakan oleh kerajaan yang Islam adalah agama perseketuan untuk membantu umat Islam itu diperlekehkan.

Bangang namanya

"Apakah niat disebalik kenyataan ini? Nak membangkitkan rasa marah di kalangan rakyat? Kalau kamu nak marah sebab tak dapat tol percuma, itu kamu punya pasallah, tapi jangan sampai bantuan kepada umat Islam kamu nak pertikaikan.

"Itu namanya bodoh dan bangang," tambah Akmal lagi.

Dia mendesak MCA Johor untuk memohon maaf dalam tempoh 24 jam sebelum pihaknya mengambil langkah membuat laporan polis.

Sementara itu, Pemuda PKR Johor turut membidas kenyataan MCA Johor yang disifatkan cuba membina naratif jahat terhadap kerajaan Madani.

Menurut Bendahari Pemuda PKR Johor, Dr Raju Krishnan kenyataan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi dilihat sebagai usaha memecahbelahkan rakyat.

"AMK (Pemuda PKR) Johor ingin mengecam sekeras-kerasnya tindakan MCA Johor yang cuba membina naratif jahat dan tidak berasas terhadap keprihatinan kerajaan Madani terhadap isu Palestin dan agama Islam. Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah jelas menunjukkan usaha untuk memecah belahkan keharmonian rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama," katanya.

"Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri sentiasa berpegang teguh kepada prinsip menjaga sensitiviti semua kaum dan agama di Malaysia. Sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin adalah bukti solidariti terhadap keadilan sejagat, selain selaras dengan nilai Islam yang memperjuangkan keamanan dan hak asasi manusia.

"Tindakan MCA Johor yang membangkitkan naratif negatif ini amat tidak wajar, terutamanya di saat umat Islam sedang memperingati peristiwa Israk dan Mikraj, satu peristiwa penting yang mempunyai nilai spiritual yang mendalam bagi umat Islam," tegasnya.

Dr Raju turut menempelak sikap MCA Johor yang disifatkan tidak peka terhadap sensitiviti umat Islam di Malaysia, malah boleh menggugat keharmonian antara kaum yang telah lama terjalin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS