Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tuan Ibrahim saman Rafizi: Selesai cara mediasi 24 Mac depan?

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 24 Mac untuk sesi mediasi antara bekas menteri alam sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Ini bertujuan menyelesaikan saman fitnah yang difailkan oleh Timbalan Presiden PAS terhadap Timbalan Presiden PKR tersebut.

Proses mediasi bertujuan menyelesaikan suatu pertikaian undang-undang tanpa melalui perbicaraan di mahkamah.

Peguam Rafizi, Aina Syazwani Mansor mengesahkan mahkamah sivil menetapkan tarikh mediasi tersebut semasa pengurusan kes saman itu hari ini.

Peguam itu berkata tarikh 24 Mac juga ditetapkan untuk pengurusan kes lanjut bagi memaklumkan hasil mediasi.

Rafizi dilihat berbincang dengan pasukan guamannya di galeri awam mahkamah hari ini manakala kelibat Tuan Ibrahim tidak kelihatan di mahkamah.

Saman Tuan Ibrahim berkait dakwaan kerajaan sementara ketika pilihan raya umum ke-15, melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air yang kini telah dibubarkan, cuba meluluskan pemberian kontrak bernilai berbilion ringgit kepada kroni pada tahun 2022.

Tindakan saman ini merujuk dua sidang media oleh Rafizi di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, Selangor, pada 7 dan 9 November 2022.

Peguam Tuan Ibrahim kemudian mengirimkan surat tuntutan meminta Rafizi mengeluarkan surat perakuan dalam tempoh tujuh hari untuk berhenti membuat dakwaan serupa serta memohon maaf. Saman fitnah tersebut difailkan pada 17 November.

Tempoh kerajaan sementara bermula selepas pembubaran parlimen untuk PRU15 pada akhir 2022, yang menyaksikan peralihan kuasa daripada pentadbiran 'Keluarga Malaysia' Ismail Sabri Yaakob kepada kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim.

Dalam penyataan pembelaan yang difailkan pada Disember 2022, Rafizi Ramli mendakwa dia hanya mengundang Tuan Ibrahim untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan kelulusan projek bernilai RM2 bilion yang diluluskan selepas Parlimen dibubarkan pada akhir 2022.

Ahli parlimen Pandan itu menafikan buat kenyataan fitnah atau berniat jahat semasa dua sidang media tersebut.

Dalam jawapan difailkan pada 19 Januari 2023, Tuan Ibrahim mendakwa antara lain Rafizi membuat tuduhan palsu dalam kapasiti sebagai ahli politik dan calon kerusi parlimen Pandan semasa tempoh berkempen PRU15.

Tuan Ibrahim juga mendakwa ini diperkuatkan dengan pengakuan Rafizi bahawa dia tidak berniat untuk membuat laporan polis kepada SPRM, sebaliknya menunggu sehingga partinya memenangi PRU15 dan membentuk kerajaan.

Firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid mewakili Tuan Ibrahim.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS