ADS
Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PKR minta Hannah Yeoh maafkan Razman, usah saman
Diterbitkan:  Jan 28, 2025 1:20 PM
Dikemaskini: 5:20 AM

Seorang pemimpin PKR meminta Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaafkan Razman Zakaria berhubung tuduhan yang dilemparkan terhadapnya tanpa perlu menyaman pesuruhjaya PAS Perak itu.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, berkata Razman telah memohon maaf dengan Hannah serta syarikat dan tokoh korporat YTL.

"Walaupun saya pertahankan hak Hannah menuntut keadilan atas kesilapan petikan fakta bahawa dia adalah anak tokoh korporat YTL, namun saya tidak bersetuju dengan tindakan Hannah yang ingin mengambil tindakan undang-undang terhadap Razman.

"Ini adalah kerana Razman telah pun meminta maaf kepada Hannah secara terbuka, dan mengakui bahawa percubaan untuk mengaitkan Hannah Yeoh dengan tokoh korporat atau syarikat YTL ini berlaku tanpa sengaja.

ADS

"Bagi saya, salah faham sedemikian sebenarnya berpunca daripada kekurangan pengetahuan tentang budaya kaum lain di negara ini,” katanya.

Lee berkata kesilapan itu sebenarnya berakar daripada alam kehidupan sesetengah rakyat Malaysia yang jarang bergaul dan melibatkan diri dalam kegiatan saling budaya. 

“Kelompok ini termasuk semua: Cina, Melayu, India, Dayak dan Kadazan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Hannah menyelar kesilapan terbaru Razman yang mendakwa Hannah sebagai anak pengasas YTL Corporation Berhad, Yeoh Tiong Lay.

Menerusi platform X, Yeoh memberi amaran untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Razman, yang semalam memohon maaf atas kesilapannya semasa ucapannya malam semalam.

Sementara itu, Lee menasihati Razman agar menyemak fakta terlebih dulu sebelum membuat kenyataan secara terbuka.

"Nasihat saya kepada Razman sebagai pemimpin politik adalah - semak fakta dan kenali budaya lain sebelum membuat kenyataan terbuka. 

"Tambahan ini bukan kali pertama beliau dan pimpinan PAS lain yang membuat tuduhan fitnah terhadap pihak lain. 

"Dan kepada Hannah, sekarang merupakan masa terbaik untuk membalas sangkaan jahat dengan hati budi yang menonjolkan nilai saling maaf-kemaafan dan kemuliaan yang sebenar, khususnya sempena perayaan Tahun Baru Lunar ini," kata Lee lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS