Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Razman selalu silap sebab pilih 'posisi menyerang' - Fairuz Hafiizh
Diterbitkan:  Jan 28, 2025 1:03 PM
Dikemaskini: 5:06 AM

Seorang pemimpin PAS Perak hari ini tampil membela Razman Zakaria yang dianggapnya menjadi sasaran sesetengah pihak kerana ahli politik terbabit "memilih posisi menyerang" berbanding sesetengah pihak yang "sedang makan dan asyik merancang di meja".

Kata Fairuz Hafiizh Othman, baginya ada sebab mengapa Razman sering melakukan kesalahan iaitu kerana Pesuruhjaya PAS Perak berkenaan sering memberikan reaksi sesuai dengan kedudukannya.

Jika takut melakukan kesilapan, katanya, seseorang itu boleh memilih untuk berdiam diri saja dan menjauhi perjuangan seperti "sesetengah orang" yang didakwanya muncul dalam isu tertentu untuk dilihat sebagai hero.

"Kini beliau antara sasaran musuh kerana masih menembak musuh. Yang sedang makan dan asyik merancang di meja mungkin tidak dipedulikan musuh.

"Saya tak kata orang yang lain tak buat kerja. Masing masing ada posisinya. Berfikir dalam tandas pun sebahagian kerja.

“Razman memilih posisi menyerang kerana posisi penting ini tak ramai berani ambik risiko walaupun ia sangat penting," tulisnya di media sosial.

Setiausaha PAS Perak itu juga meminta pengkritik - termasuk sesetengahnya dalam kalangan penyokong parti itu sendiri - agar menyatakan "kesalahan" yang dilakukan Razman.

Berkenaan saman yang dikemukakan Mohammad Nizar Jamaluddin ke atas Razman, Fairuz Hafiizh menjelaskan, ia melibatkan kenyataan bahawa bekas Menteri Besar Perak itu didakwa menyokong konsep negara sekular "yang diperjuangkan DAP".

Justeru, katanya, terserah kepada "pejuang kebenaran di dalam PAS" untuk menilai sama ada Razman berada di pihak yang benar atau salah berhubung kenyataan tersebut.

Untuk rekod, Nizar - yang kini menjadi Adun Sungai Rapat dan Exco Perak - mengemukakan saman ke atas Razman pada 2015 dan Mahkamah Sesyen Ipoh pada 9 Nov 2017 mengarahkan Ketua Pembangkang DUN Perak itu membayar RM200,000.

Memetik kes saman dikemukakan Lim Guan Eng - kini Pengerusi DAP - terhadap Razman berhubung isu tudung, Fairuz Hafiizh berkata, ahli dan penyokong PAS perlu menjawab sendiri sama ada dakwaan Adun Gunung Semanggol benar atau tidak.

"Tak perlu komen, jawab dengan akal. Nanti (kalau) komen kena saman pulak," katanya.

‘Biarlah dia uruskan sendiri’

Mahkamah Rayuan pada 6 Sept 2023 mengekalkan keputusan mahkamah tinggi yang memerintahkan Razman membayar ganti rugi RM250,000 selepas mendapati hantaran Facebooknya memfitnah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan.

Keputusan panel tiga hakim itu dibuat sebulat suara.

Menyentuh isu saman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, Fairuz Hafiizh yang juga bekas setiausaha politik Razman sekali lagi menegaskan bahawa ahli dan penyokong PAS perlu menjawab sendiri sama ada dakwaan dibuat itu benar atau sebaliknya.

Kata Fairuz Hafiizh setiap manusia memang selalu melakukan kesalahan dan memohon maaf tidak akan mencacatkan diri seseorang.

Pada masa sama, katanya, PAS Perak bermuhasabah dan tahu mengapa kadang-kadang sesuatu kesilapan itu boleh berlaku.

"Saya bersedia bertemu mata dengan mana-mana pejuang yang benar-benar mencari kebenaran.

“Bukan yang berlindung di sebalik nama palsu yang mungkin sebahagiannya musang berbulu ayam," katanya.

Nurul Islam Mohamed Yusoff

Sementara itu Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi di Jabatan Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff, menganggap Razman berjiwa besar kerana memohon maaf kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, semalam.

Katanya Razman bukan berniat memfitnah Yeoh sebaliknya "hanya terkhilaf" namun ia segera dibetulkan.

Dakwa Nurul Islam, ada perbezaan di antara antara fitnah dan terkhilaf.

Untuk mengakui kesilapannya sebagai ahli politik, katanya, ia memerlukan jiwa yang besar dan berani.

"Maafkanlah kekhilafan YB Haji Razman dan kita move on.

“Urusan dia dengan YB Hannah Yeoh, biarlah dia uruskan sendiri," katanya yang pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Getah Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS