Tokoh Wartawan Negara Johan Jaafar bimbang kesan siasatan polis yang menyasarkan wartawan kerana memetik kenyataan pihak lain di platform awam.
Dia memberi amaran tindakan seperti merampas komputer riba wartawan yang sedang bertugas menetapkan duluan berbahaya, yang berpotensi membungkam suara kritis dan menyekat kebebasan media.
“Tindakan ini dilihat sebagai usaha untuk membisukan pandangan berbeza dan menyekat kebebasan media di negara ini.
“Tindakan ini bertentangan dengan semangat keterbukaan dan toleransi yang sering ditekankan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam memastikan ekosistem di mana wartawan boleh bekerja tanpa rasa takut terhadap gangguan atau tindakan balas,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Kenyataan Johan itu menyusul rampasan komputer riba editor eksekutif Malaysiakini RK Anand, yang berkaitan siasatan terhadap komen yang dibuat oleh bekas menteri Khairy Jamaluddin dalam podcastnya, Keluar Sekejap.
Dalam podcast tersebut, Khairy mendakwa isu titah adendum bekas perdana menteri Najib Razak menyebabkan krisis kepercayaan dalam Umno.
Kenyataan tersebut mendorong laporan polis daripada Suraya Yaacob, setiausaha politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.
Selain rampasan komputer riba, Malaysiakini turut dipanggil ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya untuk memberikan akses kepada sistem pengurusan kandungannya (CMS).
Portal berita itu dimaklumkan kegagalan mematuhi arahan terbabit akan dianggap sebagai kesalahan.
Salah guna kuasa
Mengulas isu tersebut, Johan menyifatkan rampasan komputer riba itu sebagai keterlaluan dan penyalahgunaan kuasa.
“Tidak boleh diterima sama sekali apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meminta akses kepada sistem pengurusan kandungan (CMS) organisasi media,” kata Johan.
Dia merujuk laporan mengenai kegagalan portal berita ini mematuhi permintaan tersebut akan dianggap sebagai kesalahan.
Johan menjelaskan wartawan sering memetik pelbagai sumber, termasuk kenyataan media, podcast dan platform media sosial.
“Jika kes yang melibatkan Khairy ini hendak dianggap sebagai kes fitnah jenayah, ia sepatutnya dilayan sebagai kes sedemikian.
"Saya menggesa pihak berkuasa supaya tidak menjadikan wartawan sebagai mangsa dalam isu ini,” katanya mengakhiri kenyataannya.