mk-logo
Berita
PSM, NGO kecam polis siasat KJ, rampas 'laptop' Mkini
Diterbitkan:  Jan 28, 2025 10:30 AM
Dikemaskini: 2:35 AM

PSM mempersoalkan penggunaan sumber polis yang dibiayai oleh pembayar cukai untuk menyiasat Khairy Jamaludin, berikutan laporan yang dibuat berhubung satu episod podcastnya, Keluar Sekejap yang dilaporkan oleh Malaysiakini.

Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan berkata laporan polis terhadap Khairy telah difailkan seorang pembantu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Pembaharuan Institusi), Azalina Othman Said.

Arutchelvan (gambar bawah) juga merujuk laporan Malaysiakini semalam mengenai polis telah merampas sebuah komputer riba daripada salah seorang editor portal berita tersebut untuk memudahkan siasatan.

“Mengapa kerajaan atau Azalina tidak boleh mengambil tindakan sivil berbanding tindakan jenayah?

“Apa mesej yang ingin disampaikan oleh kerajaan dengan mengekori mereka yang mengkritik ahli kabinet Madani,” soal Arutchelvan.

Khairy membuat ulasan berkenaan isu titah adendum bekas perdana menteri Najib Razak, yang didakwanya menyebabkan krisis kepercayaan dalam Umno.

Semalam, Unit Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah merakamkan kenyataan daripada editor eksekutif Malaysiakini RK Anand.

Malaysiakini juga dijangka akan hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Putrajaya hari ini untuk membenarkan pegawai mengakses sistem pengurusan kandungan (CMS) portal tersebut.

Melampau, tak wajar

Portal berita itu juga dimaklumkan mengenai kegagalan untuk mematuhi arahan MCMC itu merupakan satu kesalahan.

Pengarah Makmal Kesan Keamanan, Keadilan, dan Institusi Kukuh Universiti Taylor, Benjamin Loh, menggambarkan tindakan pihak berkuasa, termasuk rampasan komputer riba dan permintaan untuk mengakses sistem pengurusan kandungan Malaysiakini tindakan yang melampau.

Katanya, kes Khairy yang disiasat di bawah undang-undang fitnah jenayah itu mencerminkan langkah tidak seimbang.

“Jika saya faham dengan betul, Malaysiakini mungkin hanya bersalah kerana menerbitkan semula kandungan fitnah dan bukannya menciptanya.

"Memandangkan mereka tidak menghasilkan kandungan fitnah tersebut, mengapa pihak berkuasa perlu merampas komputer riba atau mengakses sistem belakang mereka?

“Undang-undang fitnah bertujuan untuk melindungi reputasi, tetapi penggunaannya di sini seolah-olah bertujuan untuk membungkam kritikan berbanding menangani kesalahan,” kata Loh lapor media tempatan.

Loh juga berhujah undang-undang fitnah jenayah tidak adil kerana ia membenarkan kerajaan melibatkan penguatkuasaan undang-undang, berbeza dengan undang-undang sivil.

“Berdasarkan artikel Malaysiakini, ia memang kelihatan seperti mereka membuat beberapa tuduhan serius terhadap individu tertentu dalam kerajaan, berdasarkan andaian tertentu.

“Jika benar terdapat kesalahan seperti yang mereka nyatakan, maka mereka sepatutnya dapat mengemukakan bukti untuk menyokong tuntutan mereka sekiranya kes fitnah mereka dibawa ke mahkamah,” katanya.

Begitu juga jurucakap NGO media Geramm, Radzi Razak (gambar atas) menggambarkan tindakan polis dan MCMC “terlalu keras” dan tidak wajar.

“Sasaran yang tidak perlu terhadap bilik berita ini membawa negara kembali ke zaman gelap apabila pihak berkuasa bebas mengganggu media yang mereka tidak sukai.

"Sekarang tahun 2025, bukan 1955 – tindakan ini tidak boleh diterima dalam demokrasi moden.

“Menyasarkan wartawan dan organisasi berita berbanding menangani fitnah yang didakwa melalui saluran undang-undang yang betul menetapkan preseden berbahaya untuk kebebasan akhbar,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS