Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Permohonan maaf Razman tak ikhlas kerana cuba salahkan media'
Diterbitkan:  Jan 27, 2025 9:31 PM
Dikemaskini: 1:31 PM

Seorang pemimpin PKR membidas pengakuan silap Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria selepas menyifatkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sebagai anak kepada pengasas YTL Corporation Berhad Yeoh Tiong Lay.

Pengarah Komunikasi PKR Lee Chean Chung dalam satu kenyataan menyifatkan permohonan maaf Razman sebagai "tidak ikhlas" kerana turut menyalahkan media dan khususnya Malaysiakini kerana tidak mengetengahkan baki ucapannya selama 30 minit.

“Walaupun dia telah mengakui kesilapan,tetapi beliau cuba mengalihkan sebahagian tanggungjawab kepada Malaysiakini, kononnya laporan berita telah memanipulasi kenyataannya.

"Saya berpendapat permohonan maaf beliau tidak ikhlas kerana tiada refleksi mendalam atas kesilapannya, sebaliknya hanya menyalahkan media," kata ahli parlimen Petaling Jaya itu.

“Razman cuba menyalahkan media dengan mendakwa bahawa kenyataannya dipotong hanya 10 saat daripada ceramah selama 30 minit.

"Namun, kenyataan itu adalah sesuatu yang dia sendiri ucapkan secara terbuka. Tanggungjawab media adalah untuk melaporkan kenyataannya dengan tepat, bukan untuk mereka cerita," kata Lee.

Awal hari ini, Hannah berkongsi petikan ucapan Razman selama 20 saat - versi penuh yang dikongsi di Facebooknya - di mana ADUN Gunung Semanggol itu mendakwa bahawa dia adalah anak kepada taikun YTL.

Dia juga pernah mendakwa kerajaan negeri pimpinan Umno pada masa lalu menjual syarikat simen Perak kepada Kumpulan YTL.

Dalam responsnya, Hannah yang merupakan ahli parlimen DAP menyatakan bahawa PAS harus tahu bahawa tidak semua Yeoh mempunyai kaitan.

Razman Zakaria

Mengulas lanjut, Lee berkata "kesilapan utama" bukan terletak pada cara media melaporkan berita itu tetapi lebih kepada sikap seorang ahli politik.

"Percubaan Razman untuk mengalihkan kesalahan kepada media tidak akan mengubah hakikat bahawa kesilapan berpunca daripada dirinya sendiri.

"Sebagai ahli politik, seseorang itu harus bertanggungjawab ke atas setiap kenyataan yang dibuat, bukannya cuba mengaburi kesilapan setelah ia didedahkan kepada umum," kata Lee.

Hannah masih belum menjawab permohonan maaf Razman.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS