Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JSJ Bukit Aman cadang teliti semula undang-undang jenayah lapuk

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman melihat terdapat keperluan untuk meneliti semula beberapa undang-undang pencegahan jenayah yang sudah lapuk untuk disesuaikan dengan situasi semasa.

Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata antara undang-undang akan dicadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah berkaitan hukuman terhadap pesalah perjudian, pelacuran dan curi kenderaan yang didapati tidak relevan atau terlalu ringan selain modus operandinya telah berubah.

Beliau berkata jenayah perjudian dan pelacuran kini sudah menjadi lebih kompleks dan rumit berikutan kemajuan teknologi maklumat.

"Jika dilihat dalam kegiatan pelacuran, kini sindiket tidak lagi mengurung pelacur di satu tempat dan urusan melanggan hanya dibuat melalui telefon dan wang dipindahkan secara dalam talian. Jika ditahan pelacur ini hanya mengatakan hubungan seks yang dilakukan adalah atas persetujuan dan bukan dibayar.

"Berikutan itu, tangkapan tidak boleh dilakukan kerana tiada mangsa terlibat," katanya dalam sesi libat urus bersama wartawan di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Shuhaily berkata berkaitan perjudian, kuasa meluluskan premis perjudian terletak pada pihak berkuasa tempatan manakala polis hanya melakukan tapisan keselamatan.

“Malah definisi juga berbeza-beza antara satu negeri dengan negeri lain dalam konteks hiburan keluarga dan pusat hiburan interaktif," katanya.

Menurut Mohd Shuhaily, hukuman terhadap pesalah jenayah curi kenderaan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan pula hanya penjara maksimum tujuh tahun walaupun jenayah berkenaan kini sudah menjadi jenayah bersindiket melibatkan rangkaian antarabangsa.

"Berdasarkan siasatan, terdapat kenderaan yang dicuri di negara ini dihantar ke luar negara dan dibeli oleh kumpulan jenayah terancang terlibat dengan aktiviti penipuan...kita perlukan hukuman lebih berat dan undang-undang lebih ketat untuk mengekang jenayah ini," katanya.

Mengulas mengenai pindaan terhadap Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang dijangka dibuat pada tahun ini, Mohd Shuhaily berharap pindaan itu dapat diluluskan bagi memastikan kegiatan jenayah terutamanya jenayah berat dapat dikekang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS