Paling Popular
Terkini

ULASAN | Baru-baru ini, kita digemparkan dengan insiden melibatkan orang kurang upaya (OKU) yang dimalukan, ditendang pada muka, dan dilempar mi goreng di khalayak ramai.

Persoalan yang mungkin bermain di minda kita semua: di manakah akhlak, budi bahasa, belas dan empati mereka yang terlibat dalam insiden tersebut?

Walaupun OKU berkenaan mungkin hilang percaturan pada awalnya, namun adakah tendangan, cacian dan penghinaan itu mencerminkan nilai-nilai yang ingin diterapkan dalam jiwa? Di manakah nilai-nilai murni dan adab dalam perlakuan tersebut?

Sikap yang ditunjukkan itu mungkin berpunca daripada emosi panas baran dan kawalan perasaan mudah hilang semasa mengambil sesuatu tindakan. Panas baran merujuk kepada sikap seseorang yang mudah marah dan melenting.

Individu yang panas baran sering melafazkan tutur kata kasar dan menunjukkan tingkah laku agresif.

Setiap hari, masyarakat dihidangkan dengan laporan berita yang berpunca daripada panas baran. Istilah ‘darah panas’ atau panas baran merujuk kepada ketidakupayaan seseorang mengawal emosi semasa marah.

Individu terbabit sangat sensitif. Baru dicuit bahu sudah hendak marah, baru bercakap sedikit sudah menarik muka.

Walaupun ada yang tidak mengekspresikan kemarahan mereka melalui teriakan atau makian, namun reaksi mereka jelas menunjukkan sifat seorang yang pemarah.

Kembali ke asal

Kemarahan itu juga sering diluahkan dalam bentuk perlakuan kasar atau cacian terhadap orang lain.

Selain kes OKU tersebut, pernah juga berlaku kejadian seorang penganggur mencederakan isterinya dengan sebilah pisau. Kejadian itu berpunca daripada sikap suka melenting dan ‘naik tangan’ terhadap pasangan.

Berdasarkan pemerhatian, sebenarnya banyak kes kehancuran rumah tangga berpunca daripada sikap panas baran, malah ada kes lebih tragis apabila ia berakhir dengan kematian.

Akar permasalahan sikap agresif dan panas baran ini sering berkait dengan kesihatan mental yang tidak stabil. Kesukaran mengawal emosi dan tekanan hidup boleh mencetuskan tingkah laku agresif sehingga merugikan diri sendiri.

Malah lebih daripada itu ia memberi kesan yang besar kepada ahli keluarga serta masyarakat sekeliling.

Perlakuan panas baran juga boleh diwarisi melalui pembelajaran sosial. Anak-anak yang membesar dalam keluarga yang panas baran cenderung meniru perlakuan tersebut - yang dalam teori tingkah laku dipanggil modeling.

Walaupun pada mulanya berasa takut, lama-kelamaan mereka menjadi terikut-ikut. Ia menghasilkan kitaran keganasan (vicious cycle) apabila percubaan menyelesaikan sesuatu masalah mewujudkan masalah baru yang membawa kita kembali kepada situasi asal.

Dalam menangani permasalahan panas baran, pendekatan holistik amat diperlukan. Intervensi psikologi, sokongan kesihatan mental, dan bantuan daripada kaunselor atau pakar profesional adalah sangat penting.

Usaha pencegahan juga memainkan peranan utama dalam memberikan pemahaman yang lebih baik tentang keperibadian diri serta tahap kesihatan mental. Justeru, teknik 3R boleh menjadi panduan yang berkesan.

Teknik 3R itu ialah retract, rethink dan respond yang mampu membantu mengawal perasaan seseorang dengan lebih baik.

Retract bermaksud berundur seketika daripada punca kemarahan, memberi ruang untuk mendapatkan jarak emosi dan mengelakkan tindakan impulsif.

Rethink pula bermakna berfikir semula tentang isu sebenar dan mencari penyelesaian yang efektif.

Akhir sekali, respond merujuk kepada gaya bertindak yang lebih waras dan terkawal.

Cara hilangkan marah

Prinsip 90-10 juga boleh diamalkan. Ia merujuk kepada 90 peratus keadaan yang boleh dikawal, manakala 10 peratus adalah di luar kawalan seseorang.

Kita perlu mendidik diri untuk sentiasa berfikir positif. Sebelum bertindak, pertimbangkan sama ada perkara tersebut berada dalam kawalan kita atau tidak.

Dalam kes OKU baru-baru ini, sekiranya ia di luar kawalan, situasi tersebut tergolong dalam 10 peratus perkara yang tidak boleh dikawal. Lebih baik bermuhasabah diri dan memahami punca sebelum bertindak melulu.

Dan lawan kepada sifat panas baran adalah penyayang. Justeru, amat penting untuk kita memupuk kelembutan dan kasih sayang dalam diri.

Islam mengajar bahawa "Apabila salah seorang daripada kamu marah, dan ketika itu ia dalam keadaan berdiri, maka hendaklah ia duduk. Kerana hal itu akan menghilangkan marahnya. Dan kalau tidak, maka hendaklah ia berbaring" (hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim).

Diharapkan saranan langkah-langkah holistik ini dapat mengatasi sikap panas baran yang melampau, sekali gus memutuskan kitaran keganasan yang boleh membahayakan generasi akan datang.


PROF MADYA AZMAWATY MOHAMAD NOR ialah timbalan dekan ijazah dasar dan anggota Lembaga Kaunselor Malaysia, manakala SITI NURMALIYA ZAKARIA merupakan calon pascasiswazah sarjana pendidikan di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS