Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keranda hilang di Selangor ditemui di masjid lain di Johor

Van jenazah dan keranda yang hilang daripada Masjid Al-Ubudiah di Teluk Gong, Pelabuhan Klang, Selangor dipercayai ditemui di Skudai, Johor, kira-kira 350km jauhnya.

Keranda itu diturunkan di Masjid Taman Mutiara Rini pada Jumaat minggu lepas, hari ia disedari hilang.

Jemah masjid Shahidan Ibrahim, 71, berkata dia menyedari keranda diletakkan di situ ketika hadir untuk solat Zohor pada hari itu.

Warga emas itu juga berkata melihat van jenazah putih jenama Toyota Hiace di pekarangan masjid dan dua orang individu sedang berbaring di dalamnya.

“Salah seorang imam kemudian pergi mengejutkan orang yang sedang berbaring dalam van tersebut dan dia tidak menyebut berasal dari masjid mana.

“Tidak lama selepas itu, van jenazah itu hilang pada tengah hari pada hari yang sama,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Curiga dengan perkara itu dia memaklumkan kepada pihak polis.

Bagaimanapun, katanya, beberapa hari kemudian dia terkejut apabila menonton video laporan van jenazah dan keranda hilang daripada Selangor di TikTok.

Perkara itu juga dimaklumkan kepada pihak berkuasa.

Selagi lagi masuk kawasan masjid

Tanpa diduga, tiga hari selepas itu van itu sekali lagi dilihat memasuki masjid sama di Skudai.

Kali ini ia dilihat oleh seorang petugas masjid yang kemudian mengambil gambarnya.

Tindakan itu, kata Shahidan, menyebabkan mereka beredar.

“Jadi, kita pun cubalah malam itu adalah beberapa orang bersama dengan polis mencari di beberapa tempat. 

“Akhir sekali, jumpanya di Surau An Nur Pangsapuri Jasa," kata Shahidan.

Antara penduduk yang menemui van itu

Surau itu terletak kira-kira empat kilometer dari Masjid Taman Mutiara Rini.

Katanya, dia dimaklumkan dua orang suspek kes itu ditangkap. 

Masjid Al-Ubudiah ketika dihubungi juga berkata mereka dimaklumkan bahawa van itu telah ditemui tetapi tiada maklumat lanjut.

Keadaan asal van yang hilang

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak polis berkaitan kes itu.

Sementara itu, Shahidan berkata dia mendapati terdapat kesan pelekat pada van dikopek. 

Nombor plat digunakan juga berbeza dengan nombor plat van yang hilang, dipercayai ditukar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS